KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tempoh peralihan selama 10 bulan kepada institusi kewangan bagi melaksanakan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, tempoh peralihan itu bagi memastikan perubahan sistem dapat dilakukan secara teratur tanpa menjejaskan pembeli.
Katanya, tempoh peralihan bermula dari 1 Jun lalu hingga 31 Mac 2027 diberikan bagi membolehkan institusi kewangan menaik taraf infrastruktur teknologi masing-masing sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
“Ia memerlukan infrastruktur teknologi dan tidak semua institusi kewangan ini bersedia untuk melaksanakannya dengan serta-merta.
“Ketika ini hanya 11 institusi kewangan sahaja yang melaksanakannya dan selebihnya akan menggunakan tempoh 10 bulan ditetapkan (untuk pelaksanaan),” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai sejauh mana institusi kewangan bersedia melaksanakan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 dan jaminan pengguna tidak terdedah kepada amalan pembiayaan tidak telus sepanjang tempoh peralihan.
Fuziah berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap pindaan undang-undang bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah dapat dilaksanakan secara berkesan oleh semua pihak terbabit.
Katanya, pindaan Akta Sewa Beli turut terpakai kepada pembiayaan kenderaan baharu dan kenderaan terpakai, selagi pembiayaan berkenaan didaftarkan di bawah Akta Sewa Beli 1967.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau pelaksanaan pindaan itu bagi memastikan institusi kewangan mematuhi keperluan undang-undang serta pengguna menerima manfaat daripada penambahbaikan yang diperkenalkan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu, selepas diwartakan pada 30 Januari lalu dan rundingan susulan sebelum ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, tempoh peralihan boleh diberi kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu.
Beliau berkata, penyedia yang sudah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sebaik tarikh kuat kuasa bermula.-BH Online
