KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan kuota penempatan fasa pertama pegawai perubatan lantikan tetap sebanyak 650 di Sarawak dan 310 di Sabah menerusi sistem ePlacement sebagai usaha menangani peratusan kekosongan perjawatan itu di negeri berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jumlah kuota penempatan ini membabitkan 42.7 peratus daripada keseluruhan 2,248 kuota penempatan ditetapkan dan adalah yang tertinggi berbanding negeri di Semenanjung.
Katanya, penempatan itu dilaksanakan menerusi setiap pegawai perubatan kontrak yang dilantik tetap, diwajibkan untuk memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah atau Sarawak menerusi sistem ePlacement.
“KKM juga menyegerakan pengisian secara berfasa seramai 4,500 pegawai perubatan lantikan tetap yang mana fasa pertama, seramai 328 orang pegawai perubatan ditawarkan lantikan tetap dan akan melapor diri bertugas ke fasiliti kesihatan KKM mulai 29 Jun lalu.
“Selain itu, seramai 4,172 yang ditawarkan pelantikan tetap dijadualkan melapor diri bertugas pada Oktober ini.
“KKM juga menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan negeri menawarkan pemberian biasiswa kepada anak negeri untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di institusi pengajian tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan langkah jangka sederhana dan panjang yang sedang dilaksanakan untuk mengatasi ketidakseimbangan agihan doktor antara Sabah dan Semenanjung termasuk insentif penempatan, laluan kerjaya serta pengekalan pegawai perubatan di kawasan pedalaman.
Pada masa sama, Dzulkefly berkata, KKM juga menyediakan insentif seperti bayaran imbuhan perumahan wilayah (BIPW) bagi gred UD9 hingga gred UD15, tambang ziarah wilayah (TZW) sekali dalam tempoh satu tahun kalendar bagi pegawai perubatan dan ahli keluarganya serta tambang ihsan wilayah (TIW) untuk pegawai perubatan menziarahi waris yang sakit tenat atau meninggal dunia.
“Selain itu, bayaran insentif mengikut lokasi dan tahap kesusahan (BIMLTK) dan elaun balik kampung (EBK) bagi pegawai perubatan yang diarahkan berkhidmat di fasiliti dalam kawasan pedalaman kategori P1, P2 atau P3 serta tuntutan perpindahan termasuk kos pengangkutan barang bagi pegawai perubatan yang diarahkan bertukar oleh Ketua Jabatan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh lantikan yang sama (tetap ke tetap/ kontrak ke kontrak).
“Pegawai perubatan yang diwartakan pakar perubatan dan ditempatkan di Sabah dan Sarawak, pegawai layak menerima bayaran insentif penempatan pakar perubatan dan pakar pergigian di fasiliti kesihatan di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.
Menyedari isu kelayakan tuntutan perpindahan bagi pegawai kontrak yang dilantik tetap menjadi antara faktor pegawai perubatan kontrak tidak menerima penempatan tetap di Sabah dan Sarawak, Dzulkefly berkata, KKM melaksanakan penyelarasan proses kerja untuk penempatan dan lantikan tetap bagi pegawai kontrak di KKM mulai Jun lalu.
“Dengan penambahbaikan itu, pegawai perubatan kontrak yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak untuk urusan lantikan tetap akan diberi tuntutan perpindahan sepenuhnya mengikut kelayakan ditetapkan.
“Sebagai langkah tuntas dalam jangka panjang, penghasilan graduan perubatan dalam kalangan anak kelahiran tempatan Sabah perlu dipertingkatkan.
“Selain itu, pemberian bantuan kewangan dan penajaan untuk anak kelahiran Sabah bagi melanjutkan program pengajian perubatan perlu dipertingkatkan,” katanya.-BH Online

