KUALA LUMPUR: Penyelarasan semula belanjawan RM500 juta membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM) tahun ini dicapai menerusi penjimatan daripada jawatan yang masih belum diisi, bukannya melalui pengurangan perkhidmatan kesihatan atau operasi hospital, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini.
Justeru, Menteri Kesihatan itu berkata tindakan pelarasan itu tidak menjejaskan perbelanjaan operasi, peruntukan pembangunan, elaun kakitangan, program latihan mahupun perolehan aset perubatan.
Sebaliknya, penjimatan diperoleh daripada lebihan peruntukan bagi jawatan yang secara realistik tidak dapat diisi.
“Pelarasan RM500 juta ini bukan seperti digambarkan banyak pihak di luar sana, seolah-olah ia akan menjejaskan perkhidmatan di hospital, khususnya di kawasan luar bandar.
“Sebenarnya, ia pelarasan teknikal yang melibatkan lebihan peruntukan dan tidak melibatkan 18,641 jawatan daripada keseluruhan 50,000 jawatan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk KKM.
“Ia hanya membabitkan peruntukan yang disediakan bagi jawatan yang tidak dapat diisi. Walaupun kami mahu mengambil lebih daripada 18,641 kakitangan, hakikatnya tidak terdapat jumlah calon yang mencukupi. Di situlah kami berjaya menjimatkan RM500 juta,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) mengenai dasar pelarasan fiskal kerajaan, membabitkan cadangan pemotongan perbelanjaan bagi sektor kesihatan awam tidak menjejaskan ekosistem penyampaian perkhidmatan serta kemajuan pembangunan fasiliti kesihatan.
Dzulkefly berkata, penyelarasan dibuat selepas Kementerian Kewangan (MoF) melalui surat bertarikh 29 April lalu, meminta semua kementerian meneliti semula Anggaran Perbelanjaan 2026.
Sehubungan itu, katanya, semua komitmen dan prestasi perbelanjaan KKM diteliti, termasuk pengoperasian fasiliti kesihatan seluruh negara, komitmen kontraktual sedia ada, stok bekalan ubat dan consumables semasa, unjuran pengambilan dan pengisian perjawatan, pengoperasian fasiliti baharu serta pelaksanaan inisiatif baharu diumumkan kerajaan.
“Selepas mengambil kira faktor ini dalam memastikan rakyat menerima perkhidmatan pemeriksaan, rawatan serta penjagaan kesihatan terbaik, KKM mengemukakan Cadangan Sekatan bernilai RM500 juta kepada pihak MoF untuk dipertimbangkan.
“Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding cadangan asal berdasarkan surat MoF bernilai RM3.06 bilion.
“MoF juga bersetuju dengan cadangan ini dan saya memberi jaminan perkhidmatan dan penyampaian kesihatan KKM di seluruh negara termasuk di Sabah tidak akan terjejas.
“Ini juga membuktikan kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada sektor kesihatan demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan penjagaan dan rawatan kesihatan terbaik,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.-BH Online
