Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan sedang menyemak semula Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi Nasional (NMPI) bagi memastikan tahap kemiskinan dan kerentanan rakyat dapat diukur dengan lebih tepat, melangkaui penilaian berasaskan pendapatan semata-mata.

Semakan itu bertujuan menyokong penggubalan dasar awam, perlindungan sosial serta peruntukan pembangunan yang lebih bersasar selaras pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Malaysia mula memperkenalkan NMPI ketika Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi melengkapkan ukuran kemiskinan konvensional yang hanya berasaskan pendapatan. Indeks itu turut mengambil kira pelbagai dimensi kekurangan termasuk pendidikan, kesihatan, taraf hidup dan akses kepada perkhidmatan asas.

Berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), skor MPI negara bertambah baik kepada 0.0051 pada 2024 berbanding 0.0110 pada 2019, sekali gus mencerminkan pengurangan kadar kemiskinan pelbagai dimensi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penggubalan dasar yang berkesan memerlukan pemahaman lebih menyeluruh terhadap cabaran sebenar dihadapi rakyat, bukan sekadar berpandukan petunjuk sosioekonomi konvensional.

Beliau berkata, NMPI ialah alat dasar yang membantu kerajaan mengenal pasti pertindihan bentuk kekurangan dialami rakyat serta merangka penyelesaian lebih bersepadu, berbanding menangani kemiskinan secara berasingan atau hanya berdasarkan satu dimensi.

“Apabila negara terus maju ke arah pembangunan inklusif, kaedah mengukur kemiskinan juga perlu berkembang supaya dasar, program dan agihan peruntukan dapat disasarkan dengan lebih tepat mengikut realiti kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, NMPI yang diperkukuh akan membolehkan kerajaan mengenal pasti komuniti yang mengalami kekurangan paling ketara, memantau hasil pembangunan serta menyalurkan sumber kepada kawasan paling memerlukan.

Sementara itu, Wakil Residen United Nations Development Programme bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Vrkić berkata, peningkatan taraf kemakmuran sesebuah negara menjadikan cabaran pembangunan semakin kompleks.

Katanya, walaupun pendapatan kekal sebagai ukuran penting, ia tidak semestinya menggambarkan semua halangan yang menghalang rakyat daripada mencapai potensi sepenuhnya.

“NMPI memberikan gambaran lebih mendalam mengenai faktor yang mempengaruhi pendidikan, kesihatan, keadaan hidup dan akses kepada peluang. Ini membolehkan penggubal dasar merangka intervensi lebih berkesan bagi memperkukuh pembangunan modal insan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.-BH Online