SEREMBAN: Inisiatif Bakat Madani yang dilancarkan kerajaan dijangka memberi manfaat kepada seramai 25,000 individu dalam tempoh setahun mulai pertengahan 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, kejayaan pelaksanaan inisiatif itu juga bergantung kepada kestabilan politik, perpaduan rakyat serta sistem negara yang teratur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
“Pertama sekali, anak-anak dikasihi sekalian. Tidak banyak negara yang dapat memberikan ruang. Jadi hadam betul-betul program ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika meluncurkan Majlis Pelancaran Bakat Madani di d’Tempat Country Club, T 12653, Bandar Sri Sendayan, Seremban, pada Isnin.
Jelasnya, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada golongan muda, malah turut membuka ruang “peluang kedua” kepada kumpulan sasar termasuk isi rumah B40, asnaf, individu rentan serta veteran Angkatan Tentera Malaysia yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya.
Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju melalui kerjasama erat industri serta institusi TVET di seluruh negara.
“Kerajaan turut mempertimbangkan insentif cukai kepada syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah Bakat Madani sebagai galakan penyertaan lebih meluas sektor industri.
“Apabila kita melabur dalam pembangunan rakyat, kita turut memperkukuh asas ekonomi negara,” katanya.
Program berkenaan menghimpunkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Petronas dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat negara, termasuk membuka laluan kemahiran, pekerjaan berkualiti serta mobiliti sosial yang lebih baik kepada rakyat.
Majlis pelancaran yang dihadiri lebih 700 peserta itu menghimpunkan barisan Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, kepimpinan GLIC, GLC dan Petronas, selain para penerima manfaat program pembangunan bakat dari seluruh negara.
Bakat Madani ialah jambatan antara bakat rakyat dengan peluang ekonomi masa depan yang memastikan graduan, belia TVET dan golongan rentan mendapat akses kepada latihan, pensijilan dan pekerjaan berkualiti dalam sektor bernilai tinggi.-Astro Awani
