Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperincikan langkah segera untuk memanfaatkan pusat rehabilitasi bertaraf dunia milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi merawat pesakit awam termasuk kanak-kanak yang mengalami Cerebral Palsy (CP).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu bertujuan mengoptimumkan kemudahan sedia ada menerusi pendekatan rentas kementerian bagi mengatasi masalah kesesakan dan kekurangan kepakaran di pusat rehabilitasi KKM.

Beliau mengakui wujud kekangan perundangan ketika ini berikutan kemudahan PERKESO tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang mengehadkan rawatan kepada pencarum sahaja, manakala KKM beroperasi di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

“Saya memandang sangat mustahak untuk kita segera menangani kekangan ini. Sektor rehabilitasi di bawah PERKESO menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia dan berteknologi tinggi seperti Neuro-Robotics dan program Walk Again.

“Justeru, saya mencadangkan perbincangan segera diteruskan bagi membolehkan KKM melaksanakan Program Penyusunan Luar Perkhidmatan Kesihatan (HSOP). 

“Melalui program ini, kita dapat memanfaatkan segala fasiliti ‘state-of-the-art’ PERKESO ini bukan sahaja untuk pencarum, tetapi juga pesakit-pesakit lain (bukan pencarum),” katanya menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan mengenai pelan tindakan kesihatan bagi mengurangkan kes CP dan memperkasa pesakit kategori ringan (mild CP), Dzulkefly berkata, KKM merekodkan sebanyak 1,076 kes CP di klinik dan hospital kementerian bagi tempoh 2016 hingga 2025.

Katanya, punca berlakunya CP boleh dibahagikan kepada tiga fasa utama iaitu sebelum kelahiran (prenatal), semasa kelahiran (perinatal) dan selepas kelahiran (postnatal).

“Bagi fasa prenatal, ia lazimnya berpunca daripada jangkitan. Sebab itu KKM memberikan vaksinasi MMR (Campak, Popor dan Rubella) kepada ibu mengandung kerana jangkitan Rubella boleh merentasi plasenta kepada janin.

“Bagi fasa perinatal pula, ia berkait rapat dengan kondisi Hypoxic-Ischemic Encephalopathy (HIE) atau kekurangan bekalan oksigen ke otak ketika proses kelahiran, manakala fasa postnatal pula membabitkan jangkitan kuman ke otak selepas bayi dilahirkan,” katanya.

Bagi memastikan golongan ini tidak tercicir, Dzulkefly menegaskan KKM komited memperkasakan usaha saringan awal, rawatan intensif, serta program rehabilitasi pelbagai disiplin.

Malah, beliau turut memuji usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Anak-Anak Cerebral Palsy (GAPS) yang membuktikan bahawa ramai kanak-kanak CP sebenarnya mempunyai tahap kognitif yang normal.

“Jika intervensi awal dapat dilakukan segera menerusi pendekatan ‘Whole-of-Government’ membabitkan kerjasama KKM, Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), kita mampu memastikan anak-anak CP ini kekal produktif.

“Ini sekali gus membolehkan mereka mendapat peluang pendidikan, pekerjaan, berkeluarga, dan menyumbang potensi sepenuhnya kepada masyarakat serta negara,” katanya. -BH Online