Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Cadangan persempadanan semula yang melibatkan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka tidak sempat dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata perkara itu perlu melalui beberapa proses dan prosedur di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk pameran awam sebelum memberi ruang kepada orang ramai mengemukakan bantahan atau maklum balas.

“Mengikut maklumat daripada SPR, kemungkinan besar tidak sempat dibentangkan tahun ini kerana masih ada beberapa proses dan prosedur yang perlu dibuat. 

“Paling cepat mereka (SPR) boleh mempamerkannya kepada orang awam terlebih dahulu. Selepas pameran, akan ada ruang untuk bantahan dan sebagainya. Jadi kemungkinan besar ia hanya dapat dibawa pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri  Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pelajar Cemerlang SPM 2025 di Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata SPR mempunyai prosedur tersendiri melibatkan kajian dan banci penduduk.

”Penentuan  bila cadangan akan dibentangkan juga terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa SPR tanpa campur tangan kerajaan,” katanya.

Pada Julai tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang bagi menambah 17 kerusi baharu DUN, sekali gus meningkatkan jumlah kerusi daripada 82 kepada 99, tertakluk kepada proses persempadanan semula oleh SPR.  — BERNAMA