Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PESAWAT yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari New York, Amerika Syarikat (AS) selamat tiba di tanah air kira-kira pukul 5 petang, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri menitipkan kesyukuran kerana berjaya membawa misi negara mengadakan lawatan kerja empat hari ke New York dari 20 hingga 24 September dan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

“Alhamdulillah saya dan Azizah selamat tiba ke tanah air selepas selesai misi negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 di New York, Amerika Syarikat (AS).

“Terima kasih atas sokongan dan titipan doa rakyat Malaysia yang mengiringi langkah kami di sana.

“Fokus kini pastinya ke arah menopang isu rakyat dan memastikan kesinambungan kejayaan di New York diterjemah kepada kemakmuran ekonomi Malaysia. Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan ketibaan Perdana Menteri dan isteri
serta delegasi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) l disambut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Lawatan Anwar ke AS membuahkan hasil apabila usaha menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan ke Malaysia melalui pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi negara itu.

Anwar mengadakan pertemuan dan berinteraksi bersama 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club. -Media Perpaduan