Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pertuduhan jenayah berat terhadap pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian adalah terletak di bawah bidang kuasa Peguam Negara selaku Pendakwa Raya.

Tindakan undang-undang itu adalah seperti mana diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kes yang akan dituduh di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau mana-mana peruntukan lain yang berkaitan di bawah Kanun Keseksaan juga tertakluk kepada penilaian pihak Pendakwa Raya berdasarkan merit dan fakta kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan pada masa ini juga sedang meneliti cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewujudkan peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah yang disabitkan atas kesalahan serius di bawah Akta 333 untuk membayar pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya atau waris yang sah.

“Oleh itu, terdapat keperluan dasar untuk menambah baik Akta 333 supaya kerangka keselamatan jalan raya negara bukan sahaja memberi penekanan kepada hukuman terhadap pesalah, tetapi turut menyediakan mekanisme pembelaan yang lebih jelas kepada mangsa dan waris.

“Cadangan ini bukan bertujuan untuk menggantikan tindakan sivil, tuntutan insurans atau apa-apa peruntukan undang-undang lain yang tersedia kepada mangsa atau waris, sebaliknya bertujuan mewujudkan punca kuasa khusus di bawah Akta 333 bagi membolehkan mahkamah, dalam prosiding jenayah jalan raya, memerintahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa atau waris yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), semalam.

Kata Loke, kementerian sentiasa melaksanakan kajian secara berterusan dari semasa ke semasa untuk memastikan hukuman adalah setimpal dengan keseriusan kesalahan dan memberi kesan pencegahan yang berkesan.

“Cadangan pindaan Akta 333 bukan sahaja mengekalkan pendekatan tegas terhadap pesalah jalan raya, tetapi turut memperkenalkan mekanisme pembelaan yang lebih jelas kepada mangsa dan waris,” katanya. – BH Online