KUALA LUMPUR: Penyalahgunaan dadah sintetik, termasuk syabu (methamphetamine) di negeri Pantai Timur Semenanjung berada pada tahap serius dan membimbangkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dapatan itu diperoleh hasil pemetaan data yang dikumpul daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan PUSPEN swasta, yang menunjukkan peningkatan kes di negeri wilayah itu.
Saifuddin memaklumkan, secara keseluruhannya, sebanyak 145,526 kes penyalahgunaan dadah sintetik direkodkan di seluruh negara pada 2023; 192,852 kes (2024) dan 141,817 kes (2025).
“Dadah sintetik yang paling banyak disalahguna di negara kita hingga tahap 70 peratus daripada keseluruhan kes adalah dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS).
“Paling serius di negeri Pantai Timur… sangat serius. Maknanya di jalur Pantai Timur ini, dia (penagih) tak “main” dah ganja, heroin, ketum, morfin, sudah tidaklah. Dia cari ATS, dia cari syabu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah kes penagihan dadah sintetik yang direkodkan sejak 2023 hingga kini dan strategi kerajaan dalam menangani peningkatan penggunaan dadah sintetik, termasuk ancaman fentanyl.
Saifuddin berkata, fentanyl yang ditemui dalam operasi cecair vape oleh pihak polis memberikan kesan yang lebih teruk berpuluh kali ganda sehingga boleh menyebabkan kematian.
Bagaimanapun katanya, penyalahgunaan dadah sintetik jenis itu masih belum sampai ke tahap serius, berbanding jenis lain.
“Apa yang baiknya, pada 2025, ketika kita pinda Akta Penagih Dadah, fentanyl adalah satu bahan baharu yang dimasukkan dalam jadual, selain di bawah Akta Dadah Berbahaya, maknanya tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan jika dijumpai,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Poay Tiong yang membangkitkan kebimbangan mengenai golongan belia yang terjerumus dalam penyalahgunaan dadah, Saifuddin memaklumkan, berdasarkan rekod terbaru yang membabitkan kira-kira 192,000 kes, daerah yang merekodkan kes tertinggi adalah Pendang, diikuti Kuala Krai, Bachok, Besut dan Mersing.
Dari segi julat usia, golongan paling ramai terbabit dalam kancah itu adalah berusia antara 15 dan 39 tahun.
“Julat usia ini mewakili 75 peratus daripada 192,000 kes tadi dan ini akan dapat dilihat dalam penjara. Penjara ada 41 dan ada 87,000 “undergraduates”.
“Bagi setiap 100 banduan, ada 70 banduan terkait dadah, sama ada sabitan atau reman. Tentulah naif untuk kita terus mengatakan hanya 192,000 kes saja kerana di luar sana yang belum dilapor, tentunya lebih serius,” katanya.-BH Online
