ASHGABAT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan.
Menurut satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri, Anwar berkata ini membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi serta tenaga antara kedua-dua negara.
“Pencapaian itu hadir bersempena 30 tahun kerjasama Malaysia dan Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala sejak sekian lama.
“Kerjasama berkenaan bukan sahaja memperkukuh persahabatan antara Malaysia dan Turkmenistan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat serta pemindahan ilmu dan teknologi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” jelas Anwar dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, kerjasama tersebut membuka ruang kepada penglibatan yang lebih strategik dalam pembangunan sumber tenaga masa hadapan, termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan yang merupakan antara negara pemilik rizab gas terbesar di dunia.
Anwar berada dalam rangka lawatan dua hari ke Turkmenistan yang bermula pada Khamis.
Beliau kini dalam perjalanan pulang ke tanah air setelah selesai menghadiri acara rasmi di Ashgabat. -Astro Awani
