PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) kini pada peringkat akhir menyelesaikan beberapa kekangan dalam latihan kepakaran, termasuk halangan birokrasi yang dikata melambatkan usaha melahirkan pakar baharu dalam bidang kesihatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata KKM sedang meneliti kekangan dalam sistem sedia ada dan telah melaksanakan beberapa penyesuaian sementara.
Beliau berkata, antara langkah diambil ialah mengiktiraf tempoh ‘supervised work experience’ (SWE) sebagai sebahagian daripada tempoh latihan diperlukan bagi doktor yang mengikuti subkepakaran.
“Jika ada ‘bottleneck’ (kekangan), kita pasti mahu mengatasinya. Sekiranya persepsi dulu ialah kerana mereka dalam LNPT (Laporan Nilaian Prestasi Tahunan), sekarang mereka yang sudah menjadi pakar tetapi menjalani ‘supervised work experience’ selama enam bulan, tempoh itu tidak diambil kira.
“Namun kali ini, kita sudah mengambilnya sebagai sebahagian daripada tempoh untuk mereka mendapatkan subkepakaran,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembinaan Klinik Kesihatan Bakun-Murun, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendakwa hospital awam tertekan hingga tahap maksimum adalah berpunca daripada kekurangan sumber tenaga kerja, dan bukan akibat lambakan pesakit warga asing.
Presiden MMA, Datuk Dr R Thirunavukarasu, dipetik berkata isu lebih mendalam ialah kegagalan sistemik berikutan hospital awam kini beroperasi pada kapasiti penuh dengan kekurangan hampir 11,000 pakar perubatan serta kadar kekosongan jururawat sekitar 18 peratus.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, KKM menyedari masih ada beberapa kekangan lain, dengan semua isu yang timbul sedang ditangani.
“Saya tahu mungkin ada (kekangan) yang mirip sifatnya, namun semua itu akan kita tangani. Kita dalam proses terakhir untuk memastikan kita dapat mengatasi semua itu.
“Semua itu, sebenarnya kalau sedikit waktu lagi, kita akan dapat mendedahkan penyelesaian secara lebih tuntas,” katanya.
Beliau menjelaskan, penambahan pakar perlu dilaksanakan secara berfasa dan berterusan mengikut keperluan serta perkembangan kemudahan infrastruktur kesihatan.
“Penambahan pakar mesti dibuat berfasa dan berterusan mengikut keperluan serta kepentingan semasa.
“Kita ada perancangan dan ia diselaraskan dengan keperluan fasiliti kesihatan. Dari segi sumber tenaga kerja, memang untuk mengisi kekurangan yang tetap ada,” katanya.
Dalam tempoh sementara, beliau berkata, KKM mengaktifkan sistem pengurusan krisis kluster bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan negara tidak terjejas.
Katanya, pendekatan itu membabitkan kerjasama antara hospital dalam kluster serta klinik kesihatan, termasuk penyusunan semula dan pergerakan petugas kesihatan mengikut keperluan.
“Paling penting ialah perkhidmatan kesihatan tidak terganggu. Kita sangat menyedari tekanan terhadap tenaga kerja, namun kita sedang berusaha mengatasinya melalui pengurusan krisis kluster ini sementara penyelesaian yang lebih menyeluruh dimuktamadkan,” katanya. – BH Online

