Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Seramai 21,234 peniaga di negeri ini bakal menikmati manfaat pengurangan kadar sewa di premis pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 yang diumumkan, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi pelaksanaan inisiatif itu.

“Komuniti penjaja yang menyewa kedai dan gerai di premis PBT adalah usahawan barisan hadapan yang mewakili ekonomi harian rakyat.

“Justeru, demi menggalakkan mereka terus berniaga tanpa meningkatkan harga makanan kepada rakyat, kerajaan negeri akan menawarkan pengurangan kadar sewa sebanyak 30 peratus di premis semua PBT selama enam bulan bermula Julai hingga Disember depan.

“Bantuan ini akan memanfaatkan seramai 21,234 peniaga dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta daripada kerajaan negeri.

“Pengurangan ini akan diberi secara automatik tanpa memerlukan permohonan daripada peniaga,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 berjumlah RM209.26 juta pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri berusaha memastikan kadar bawah Skim Smart Sewa Selangor kekal tanpa kenaikan, terutama ketika ini yang membabitkan sewaan antara RM450 hingga RM1,300 sebulan.

“Sebagai tambahan, kerajaan negeri memahami keadaan yang mungkin dihadapi penyewa jika kos sara hidup meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Oleh itu, kesemua 1,012 penyewa rumah akan ditawarkan moratorium sewaan rumah untuk tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember nanti.

“Moratorium ini akan diselaraskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengikut permohonan penyewa, dengan sebanyak RM2.22 juta akan diperuntukkan,” katanya.

Seterusnya, Amirudin berkata, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM2.54 juta untuk Moratorium Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri yang bakal memanfaatkan 2,333 penjawat awam di Selangor, mengikut permohonan.

“Bagi membantu penjawat awam yang sedang menjelaskan bayaran hutang pinjaman rumah bawah Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri, pentadbiran ini akan turut menawarkan peluang moratorium bayaran semula pinjaman rumah untuk tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember depan,” katanya. -BH Online