Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti negara menerusi pelaksanaan pendekatan senegara atau ‘whole-of-nation’ dengan membabitkan kerjasama erat antara semua kumpulan pemegang taruh.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan pengurusan biodiversiti negara dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

“Kerjasama antara PERHILITAN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) menjadi contoh pendekatan bersepadu dalam membanteras jenayah hidupan liar serta melindungi khazanah biodiversiti negara.

“Saya turut berharap semangat kerjasama yang sama terus diperkukuh dalam memastikan agenda biodiversiti negara dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” katanya.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu ditekankan ketika Fadillah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara Keempat (MBN Ke-4), hari ini. 

Dalam mesyuarat berkenaan, tiga kertas pertimbangan dan empat kertas makluman dibentangkan bagi membincangkan hala tuju serta strategi biodiversiti di peringkat kebangsaan.

Antara keputusan yang dipersetujui ialah pembangunan Kerangka Kebangsaan Kaedah-Kaedah Lain yang Berkesan bagi Pemuliharaan Berlandaskan Kawasan (OECM) yang merangkumi kriteria, mekanisme pengiktirafan dan struktur tadbir urus OECM di Malaysia.

Mesyuarat itu turut bersetuju mengenai hala tuju mitigasi dan pengurusan populasi gajah liar di Johor bagi memperkukuh usaha menangani konflik manusia dan gajah, selain melestarikan khazanah asam batu negara melalui aktiviti pemuliharaan spesies Begonia herveyana di Melaka.

Pada masa sama, MBN Ke-4 mengambil maklum beberapa inisiatif dan pencapaian penting dalam pemuliharaan biodiversiti, termasuk penyediaan Laporan Kebangsaan Ke-7 kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (7NR) termasuk usaha konservasi hidupan liar oleh PERHILITAN.

Tambah kenyataan itu, ia turut merangkumi inisiatif biodiversiti bandar melalui penanaman spesies pokok asli Malaysia di kawasan pinggiran jalan serta program pemuliharaan dan pemantauan burung pantai hijrah oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Tambah NRES, Fadillah turut melancarkan Laporan Kebangsaan Ketujuh, yang telah berjaya dikemukakan oleh Malaysia kepada Sekretariat Konvensyen Kepelbagaian Biologi pada 28 Februari lalu.

Laporan berkenaan adalah dokumen rasmi negara yang merekodkan kemajuan pelaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030 serta usaha Malaysia memenuhi komitmen antarabangsa di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF).

“Penyediaan laporan itu mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkukuh pelaksanaan agenda biodiversiti negara.

“Laporan ini boleh diakses melalui antara muka (interface) baharu Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) menerusi www.mybis.gov.my yang turut dilancarkan hari ini,” menurut kenyataan itu. -BH Online