PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memperkasakan usaha mendekati golongan muda selaras titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang mahu pemimpin agama memainkan peranan aktif dalam menangani ancaman ekstremisme dan maklumat palsu dalam era digital.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata pihaknya menjunjung titah itu dan akan menjadikannya sebagai panduan dalam pelaksanaan program serta inisiatif berkaitan.
“Pada peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kami akan mengangkat dan menyahut pesanan dan seruan Sultan Perak dengan sebaiknya. Insya-Allah, kita akan mengarusperdanakan pesanan dan juga peringatan yang disampaikan,” katanya.
Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Syarahan Perdana Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa 1448/2026 di sini hari ini.
Pada Jumaat lepas, Sultan Nazrin bertitah pemimpin agama perlu memainkan peranan lebih aktif mendekati golongan muda bagi menangani ancaman ekstremisme, maklumat palsu dan polarisasi yang semakin berleluasa dalam era digital.
Baginda bertitah golongan belia kini berhadapan pelbagai cabaran termasuk kebimbangan perubahan iklim, konflik, ketidaktentuan ekonomi, polarisasi digital serta kemerosotan kepercayaan terhadap institusi masyarakat.– BERNAMA
