Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

LABUAN: Malaysia kekal tegas dalam mempertahankan kedaulatan, hak berdaulat dan kepentingan strategik negara di wilayah daratan mahupun maritim termasuk di Pulau Layang-Layang yang terletak dalam kawasan Gugusan Semarang Peninjau di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kehadiran berterusan kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pulau terbabit membuktikan komitmen negara untuk mempertahankan kawasan strategik yang turut berdepan tuntutan bertindih beberapa negara lain.

Katanya, Pulau Layang-Layang adalah antara kawasan yang menjadi tuntutan bertindih membabitkan negara China, Vietnam dan Filipina.

Justeru, beliau menegaskan kehadiran Malaysia di kawasan ini perlu diteruskan bagi memastikan aspek kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Perkukuh komitmen negara 

“Lawatan kerja ini bertujuan meninjau keadaan dan kesiapsiagaan stesen yang terletak di Pulau Layang-Layang. Kehadiran kita di sini adalah untuk mengukuhkan komitmen kerajaan dalam memastikan soal kedaulatan, keselamatan dan perkara-perkara berkaitan di kawasan ini terus diberi perhatian.

“Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk mempertahankan kawasan ini kerana ini adalah barisan hadapan negara. Kehadiran kita secara berterusan juga membuktikan bahawa ini adalah kawasan kita dan kita akan terus mempertahankannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tinjauan di Stesen LIMA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pulau Layang-Layang, di sini, Selasa lalu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri Dr Zulhemly Ithnain, Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Angkatan Bersama; Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi.

Mohamed Khaled berkata, stesen yang dikendalikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berfungsi sebagai pusat operasi utama dalam mempertahankan kedaulatan negara di Gugusan Semarang Peninjau.

“Peranan utama stesen ini adalah untuk melindungi dan mempertahankan kedaulatan negara selain mengumpul maklumat yang akan disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Timur serta membantu operasi logistik kapal TLDM dan agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya. -BH Online