Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 17 Jun – Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) Edisi Melaka dijadual berlangsung di Morten Walk, Melaka dari 19 hingga 21 Jun ini dengan sasaran kehadiran melebihi 50,000 pengunjung.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, penganjuran edisi kedua itu merupakan antara inisiatif strategik kementerian dalam memperkukuh budaya keusahawanan serta memperluas akses pasaran bagi usahawan tempatan.

Menurut beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, tema “Jom Singgah SDSI” (Satu Daerah Satu Industri) dipilih bagi mengetengahkan potensi produk tempatan di samping membuka peluang jaringan perniagaan lebih luas.

“Program ini bukan sahaja membantu usahawan meningkatkan jualan, malah menjadi platform penting untuk mereka meneroka pasaran baharu serta menjalin kerjasama strategik,” katanya.

Antara tarikan utama ialah Jualan MADANI KUSKOP (JMK) yang menawarkan kira-kira 60 jenis barangan keperluan asas seperti beras, tepung, ayam, daging, telur dan minyak masak dengan potongan harga sehingga 20 peratus sepanjang karnival berlangsung.

Kemuncak acara pada hari terakhir menyaksikan promosi ‘happy hour’ dengan diskaun sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Dalam pada itu, program berkenaan menyasarkan potensi jualan sebanyak RM135,000 sepanjang tiga hari penganjuran.

Sesi Padanan Perniagaan (Business Matching) anjuran SME Corp. Malaysia turut diadakan dengan penglibatan tujuh syarikat peneraju industri peruncitan dan pemborongan, sekali gus menyasarkan potensi urus niaga mencecah RM1 juta.

Selain itu, KUSKOP bersama sembilan agensinya menyediakan Kaunter Konsultasi Keusahawanan yang menawarkan khidmat nasihat berkaitan pembiayaan, geran, latihan dan pembangunan kapasiti.

Menurut Steven Sim, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan agensi berkaitan terus turun padang membantu usahawan mendepani cabaran ekonomi semasa.

“Program SDSI terus menjadi pemangkin dalam memperkasa produk dan perkhidmatan tempatan serta mempromosikan kualiti keluaran usahawan kepada masyarakat dan pelancong,” katanya lagi.

Penganjuran KHPM Edisi Melaka dijangka memberi limpahan ekonomi kepada negeri itu melalui peningkatan aktiviti perniagaan, aliran pengunjung serta permintaan terhadap sektor sokongan seperti perhotelan, makanan dan minuman serta pengangkutan tempatan.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk Program Halal Sukses, Sembang Usahawan Selebriti, demonstrasi mencanting batik, E-Sukan, Wayang Pacak, Zumba Lambak, Dapur Aneka Rasa, Jom Naik Beca Berhias serta Konsert XPDC.

Turut diadakan pertandingan mewarna Kelab Nuri, Treasure Hunt, pameran automotif dan kenderaan elektrik (EV), pertandingan mural dan grafiti serta cabutan bertuah. – BERITA RTM