KUCHING: Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B yang membabitkan 19 pakej setakat ini berjalan lancar meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengurusan projek di Sabah lebih kompleks berbanding Sarawak berikutan jumlah pakej yang lebih banyak selain faktor geografi yang mencabar.
Katanya, di Sarawak keseluruhan jajaran Pan Borneo yang mempunyai panjang hampir sama dengan Sabah hanya dibahagikan kepada 11 pakej, sekali gus memudahkan urusan pelaksanaan dan pemantauan projek.
“Keseluruhan projek Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan 1B pula membabitkan 35 pakej, sekali gus memerlukan pengurusan lebih rapi dari segi kontrak, penyelarasan dan pemantauan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kejuruteraan Geoteknikal Serantau Malaysia, di sini, hari ini.
Program berkenaan membabitkan 33 penceramah daripada pelbagai agensi dan organisasi, selain menampilkan 45 tapak pameran yang disertai oleh penyedia perkhidmatan, pembekal serta penggerak industri geoteknikal.
Bertemakan Asas yang Kukuh, Masa Depan yang Mampan, persidangan itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama kejuruteraan geoteknikal, iaitu peneraju inovasi dalam geoteknik dan penyiasatan tapak, kestabilan cerun dan mitigasi tanah runtuh, kejuruteraan asas serta penambahbaikan tanah.
Nanta berkata cabaran utama di Sabah adalah isu pengambilan tanah dan pengalihan utiliti yang lebih ketara berbanding di Sarawak, menyebabkan pelaksanaan projek mengambil masa lebih panjang.
Katanya, Fasa 1A yang bermula lebih awal pun masih belum siap sepenuhnya, manakala Fasa 1B yang dilancarkan kurang daripada dua tahun lalu sudah menunjukkan kemajuan.
“Daripada 15 pakej utama yang sedang diberi tumpuan, kementerian menyasarkan 10 pakej dapat disiapkan tahun ini. Baki 17 pakej lagi dijangka dapat disiapkan sepenuhnya antara tahun 2028 hingga 2029 mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Nanta berkata keadaan muka bumi di Sabah yang membabitkan kawasan tanah tinggi dan berbukit-bukau turut menjadi antara faktor yang menambah cabaran kepada pelaksanaan projek.
Mengulas mengenai isu pengalihan utiliti, beliau berkata kerja berkaitan yang membabitkan Sabah Electricity, Jabatan Air Negeri Sabah dan Telekom Malaysia sudah dimulakan selepas isu pelantikan subkontraktor berjaya diselesaikan.
Mengenai kemungkinan kenaikan kos bahan binaan akibat ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan dan konflik di Timur Tengah, Nanta berkata kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sudah membentangkan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi menangani isu berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini kenaikan harga bahan binaan masih berada pada tahap yang boleh diserap oleh industri dan belum menjejaskan pelaksanaan projek kerajaan, namun keadaan akan terus dipantau terutama jika konflik berpanjangan menjejaskan rantaian bekalan serta kos bahan api.
“Projek pembangunan infrastruktur perlu diteruskan kerana sektor pembinaan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan sebarang penangguhan boleh memberi kesan kepada momentum ekonomi,” katanya. – BH Online
