KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semangat hijrah perlu dizahirkan dalam realiti semasa menerusi persefahaman dan kerjasama rangkaian komuniti yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, kejayaan tidak akan hadir sekadar melalui retorik, slogan atau semangat yang digerakkan secara individu, sebaliknya memerlukan usaha bersama yang dilaksanakan dengan penuh kesabaran dan ketekunan.
“Oleh itu, kemahuan dan harapan melakukan pembaharuan atas esensi hijrah untuk menegakkan keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjaminnya keselamatan harus menjadi ikhtiar bersama dan bukan milik sesiapa.
“Kita perlu menyelami semangat hijrah dan segala pengajaran mulia yang terpahat. Dalam mencapai cita-cita perubahan dan pembaharuan ini, kerjasama serta perpaduan amat bernilai dalam menggapai kejayaan,” katanya menerusi hantaran sempena sambutan Maal Hijrah 1448 Hijrah yang dikongsi pada akaun Facebooknya miliknya hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut mengajak seluruh masyarakat menjadikan semangat hijrah sebagai asas kepada usaha melakukan pembaharuan dan perubahan demi masa depan negara yang lebih baik.
Beliau berkata peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW membuktikan kejayaan sesuatu perjuangan tidak dicapai secara bersendirian, sebaliknya hasil usaha berpasukan yang berteraskan kesatuan iman serta mendapat lindungan dan petunjuk ALLAH SWT.
Katanya, sejarah hijrah turut memperlihatkan peranan penting golongan muda, wanita dan sahabat dalam menjayakan perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.
“Teladan daripada peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW menyaksikan peranan instrumental anak muda seperti Saidina Ali Abi Talib, sumbangan wanita seperti Asma Abu Bakar dan ramai sahabat mengatur dan menjadi sebahagian daripada sejarah hijrah Nabi ke Madinah sebagai suatu yang unik dan istimewa.
“Kejayaan hijrah Rasulullah SAW adalah ikhtiar berpasukan atas kesatuan iman yang berada dalam lindungan ALLAH SWT. Menzahirkan semangat Hijrah dalam realiti semasa tidak mudah. Ianya perlukan kesepakatan dan kerjasama rangkaian komuniti dengan kepelbagaiannya,” katanya. – BH Online
