KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Koperal Norazmi Abu Bakar dan Prebet Siti Khadijah Sungip yang terkorban dalam insiden letupan ketika latihan membaling grenad di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, pagi tadi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia mendoakan agar ahli keluarga kedua-dua mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berkenaan.
“Saya amat berdukacita menerima perkhabaran pemergian Allahyarham Koperal Norazmi daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Allahyarhamah Prebet Siti Khadijah daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang terkorban dalam insiden berkenaan.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Koperal Norazmi dan Allahyarhamah Prebet Siti Khadijah, mengampunkan segala dosa mereka serta menempatkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya menerusi hantaran di media sosial malam ini.
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan kedua-dua mangsa yang cedera parah dalam kejadian pada 10.57 pagi itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman mengarahkan satu siasatan terperinci dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan. – Bernama
