TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah akan meneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM339.16 juta sebagai satu daripada instrumen utama dalam agenda pembasmian kemiskinan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bantuan SYUKUR distruktur semula pada kadar RM200 sebulan sebagai pelengkap kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan, iaitu Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah serta bantuan kewangan lain.
“Penstrukturan semula program SYUKUR membolehkan jumlah penerima diperluaskan daripada 100,000 pada tahun lepas kepada 140,000 tahun ini, bagi memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan,” katanya ketika berucap pada program Outreach SYUKUR Tuaran di sini hari ini.
Hajiji berkata amaun pembayaran SYUKUR akan dibuat secara berfasa dengan setiap fasa dibayar secara sekali gus bagi tempoh tiga bulan, iaitu RM600 dikreditkan ke akaun penerima atau bantuan secara tunai.
Beliau berkata secara dasarnya, Program SYUKUR mula diberikan kepada penerima layak pada 11 Mac lepas bagi fasa pertama manakala pembayaran fasa kedua secara dalam talian juga dikreditkan ke akaun penerima pada 23 Mei.
“Saya amat berbesar hati untuk memaklumkan bahawa pembayaran SYUKUR fasa kedua bagi agihan pertama secara tunai akan dibuka bermula 18 hingga 23 Jun ini kepada penerima layak di seluruh Sabah melibatkan 17,848 penerima.
“Pembayaran ini melibatkan bantuan RM600 secara sekali gus bagi tempoh April hingga Jun 2026. Saya berharap bantuan diterima dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi memenuhi keperluan asas keluarga, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan harian yang semakin mencabar,” katanya.
Mengulas mengenai program jangkauan luar, Hajiji berkata ia amat penting dalam memberi ruang kepada kerajaan untuk turun padang mendekati rakyat, memahami cabaran dihadapi serta memastikan segala bentuk bantuan dan inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.– BERNAMA
