Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Program dialog antara agama berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan kepelbagaian masyarakat ke arah mencapai matlamat membina sebuah negara bersatu padu dan harmoni.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata ia adalah satu proses komunikasi yang membolehkan penganut pelbagai agama saling mengenali, memahami dan menghormati antara satu sama lain, sekali gus membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Kita adakan mediasi, sampailah kepada (mencapai) kesefahaman antara yang bermasalah kerana dialog menjadi jalan terbaik untuk menyelesaikan perbezaan fahaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Harmoni Peringkat Kebangsaan di Dewan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini hari ini.

Aaron Ago berkata pendekatan dialog secara berterusan amat penting dalam memastikan perbezaan agama, budaya dan latar belakang tidak menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh perpaduan nasional serta keharmonian.

Beliau berkata pelbagai program yang memfokuskan kepada usaha memperkukuh keharmonian antara kaum, agama dan budaya sedang dan akan terus dilaksanakan termasuk penglibatan daripada pihak swasta.

Sementara itu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, Datuk Julita Majungki berkata pemilihan negeri ini bagi Dialog Harmoni Kebangsaan amat tepat kerana Sabah mampu menjadi platform terbaik untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan amalan terbaik dalam memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat Malaysia.

Beliau berkata tema “Harmoni Dalam Kepelbagaian: Memperkukuh Warisan Toleransi Sabah” bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat Sabah yang telah sekian lama mengamalkan budaya saling menghormati, memahami dan meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan bersama.

“Saya berharap dialog ini akan menjadi medan yang konstruktif untuk membincangkan cabaran semasa, memperkukuh persefahaman antara komuniti serta merangka pendekatan yang lebih inklusif dalam usaha memelihara perpaduan negara,” katanya.

Dialog berkenaan disertai Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Datuk Dr Lee Kuok Tiung; Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) merangkap Ahli Jawatankuasa PADUNEGERI Sabah, Datuk Sapawi Ahmad dan Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah yang juga Ahli Jawatankuasa PADUNEGERI Sabah, Wong Fui Kong.

Program Dialog Harmoni diadakan di enam lokasi, iaitu Kedah (6 Jun), Sabah (16 Jun), Johor (20 Jun), Terengganu (27 Jun), Selangor (8 Julai) dan Sarawak (25 Julai).– BERNAMA