KERAJAAN masih menanggung jumlah subsidi elektrik sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal RM14.9 bilion.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong, berkata, pengurusan subsidi yang lebih bersasar dan mampan adalah menjadi keutamaan, dalam memastikan perbelanjaan kerajaan dapat disalurkan kepada keperluan pembangunan yang dapat memberi nilai tambah lebih tinggi kepada ekonomi negara.
Menurutnya, terdapat penjimatan kira-kira RM4 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini yang membabitkan subsidi elektrik, susulan langkah kerajaan untuk tidak lagi memberikan subsidi penuh tarif elektrik kepada syarikat-syarikat besar yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap yang tinggi mulai tahun ini.
“Kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan dengan mengenal pasti kaedah yang bukan sahaja berkesan, malah menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan yang paling minimum kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen, hari ini.
Mengenai mekanisme menentukan penerima subsidi yang layak Chee Keong berkata, ianya juga perlu dipelbagaikan kerana jenis subsidi dan golongan pengguna adalah berbeza.
“Penetapan kriteria kelayakan masih dalam penilaian kerana amatlah penting ia dikaji dengan teliti agar agihan sumber dibuat dengan lebih cekap dalam masa yang sama mengurangkan kesilapan ‘exclusion’ dan ‘inclusion’.
“Sehubungan itu, satu pasukan petugas khas yang telah diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan sedang mengkaji mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar bersesuaian yang melibatkan semua kumpulan masyarakat baik B40, M40 mahupun T20, sama ada di bandar atau kawasan luar bandar,” katanya. -Media Perpaduan