Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MALAYSIA akan memastikan segala
tuntutan kumpulan Sulu akan ditamat dan dilenyap selama-lamanya, demikian kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Justeru, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, Malaysia sedang dalam proses mendapatkan pembatalan keputusan akhir tuntutan kumpulan Sulu ke atas Sabah yang dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol di Mahkamah Rayuan Paris.

“Ini bukan sahaja demi kepentingan Malaysia tetapi juga negara lain, masyarakat penimbang tara antarabangsa, perniagaan, pelabur dan pembiaya pihak ketiga,” katanya dalam ucaptama pada ‘Kolokium Timbang Tara Antarabangsa London 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara dalam Timbang Tara Komersial’ di London, semalam.

Jun lalu, keputusan Mahkamah Rayuan Paris menolak penguatkuasaan ‘partial award’ Kumpulan Sulu memberi kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan kedaulatan negara ini.

Berikutan itu, Mahkamah Rayuan Paris menolak mandat mahkamah timbang tara yang menuntut Malaysia membayar jumlah wang kepada pihak yang menuntut.

Azalina berkata, kemenangan Malaysia di Paris dan The Hague ke atas kes Sulu adalah susulan tindakan tanpa henti Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hasilnya, kita memperoleh kemenangan penting di Paris dan The Hague untuk Malaysia dan perkembangan positif lain dalam prosiding berterusan berkaitan tuntutan kumpulan Sulu.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha bersama dan bersepadu kementerian dan agensi kerajaan berkaitan di bawah pimpinan perdana menteri.
\
“Perdana Menteri turut menerajui usaha hubungan antarabangsa dan diplomasi dengan memupuk kerjasama ke arah membentuk amalan terbaik dalam timbang tara dan pembiayaan perundangan oleh pihak ketiga,” katanya.

Susulan kes kumpulan Sulu, Azalina berkata, masanya adalah tepat bagi tindakan penimbang tara dan pengawasan pembiaya perundangan pihak ketiga termasuk berkaitan ketelusan dikaji semula.

“Malaysia sudah menghabiskan banyak masa, usaha dan sumber untuk mempertahankan negara daripada dakwaan remeh penipuan kumpulan Sulu di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda,” katanya.

Azalina berkata, Lembaga Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS) Universiti London bagi memupuk aktiviti pengajaran dan penyelidikan berkaitan pertikaian, sejajar amalan terbaik antarabangsa.

Katanya, Malaysia menggalakkan perkara itu sejak awal dan menyokong timbang tara sebagai penyelesaian pertikaian pilihan.

“Pengalaman Malaysia dalam penipuan Sulu membuktikan kesucian proses timbang tara mesti dipertahankan,” katanya. -Media Perpaduan