Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ABU Adam Duaji berjanji akan memastikan anaknya mengotakan janji kepada pengundi jika menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, 7 Oktober ini.

Bapa kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar itu berkata, apa cara sekalipun seseorang yang dipilih menjadi wakil rakyat mesti mengotakan janji yang telah ditabur kepada rakyat walaupun ianya berlaku dalam keadaan lambat atau perlahan.

“Kalau Allah izinkan dia jadi pemimpin (Adun), pertama pak cik minta apa yang dia janji ditunaikan.

“Tak boleh (tunai) sepenuhnya buat dengan cara perlahan-lahan (satu demi satu). Itu saja, jangan kita janji tinggal janji, itu tak baik.

“Orang Melayu kalau janji kena tunaikan janji, kalau tak tunai janji apa hukumnya? Tak baiklah kan,” katanya ketika ditemui media.

Abu Adam, 74, berkata kepada media ketika mengikuti anaknya berkempen di tapak pasar malam Felda Chemoi, dekat Bentong, semalam.

Beliau yang mengakui bangga dengan keputusan BN memilih Amizar bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berkata, akan memantau agar anaknya menjadi seorang wakil rakyat yang baik.

“Itu pasti (memantau), selagi pak cik bernafas, pak cik sebagai bapa akan pantau. Akan pastikan (menunaikan janji).

“Saya sudah nasihat dengan beliau jika jadi pemimpin, betul-betul jadi pemimpin. Kalau boleh kita bawa pemimpin dunia dan akhirat.

“Jangan jadi pemimpin dunia saja akhirat kita tinggalkan atau pemimpin akhirat dunia kita tinggalkan,” katanya.

Amizar yang juga Ahli jawatankuasa Umno Bentong berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat serta calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Sept sebagai hari penamaan calon dan 7 Okt sebagai hari pengundian. -Media Perpaduan