Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merekodkan 15,000 tangkapan membabitkan penagih dan penyalahguna dadah sejak awal tahun hingga kini, melalui operasi dijalankan di seluruh negara. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pihaknya meletakkan sasaran 40,000 tangkapan dapat dilakukan sepanjang tahun ini. 

“Sasaran tangkapan AADK untuk tahun ini antara 35,000 hingga 40,000 orang dan setakat ini, tangkapan sudah mencecah 15,000 hingga sekarang, jadi kita yakin sasaran 40,000 tangkapan itu boleh dicapai tahun ini,” katanya pada Program Penghayatan Nilai Murni Sempena Aidiladha dan Ibadah Korban AADK 2026, di INSCORE PUSPEN Sepang, di sini, hari ini.

Ruslin berkata, tangkapan dibuat berdasarkan aduan orang awam dan hasil risikan yang dijalankan pasukannya.

Beliau berkata, pasukan AADK juga dilengkapi unit dron yang membuat pemantauan di kawasan menjadi lokasi penagih dadah atau untuk menjual dadah secara kecil-kecilan. 

Katanya, aktiviti itu biasanya dibuat di kawasan pedalaman, kebun kelapa sawit dan kampung. 

“Unit dron dapat membantu mengenal pasti (kawasan tempat penagih) termasuk waktu malam kerana dron digunakan dilengkapi teknologi ‘haba’ yang boleh mengesan objek pada waktu malam,” katanya. 

Ruslin berkata, rekod agensi itu mendapati Selangor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi, diikuti Kuala Lumpur, Perak dan Kedah.

Beliau berkata, kewujudan pusat gerakan 24 jam pula memudahkan penyelarasan setiap aduan diterima melalui panggilan telefon, SMS atau aplikasi WhatsApp sebelum arahan disalurkan ke pejabat AADK negeri dan daerah. 

“Ia bermaksud jika aduan berlaku di daerah Petaling Jaya, pusat gerakan kita di ibu pejabat akan memberi arahan kepada pejabat di Petaling Jaya untuk ambil tindakan berdasarkan aduan itu,” katanya. 

Sementara itu, Ruslin berkata, majlis ibadah korban itu dijalankan dengan kerjasama PUSPANITA AADK serta Kelab Kebajikan dan Sukan AADK.

Beliau berkata, sebanyak 27 lembu dan lima kambing hasil sumbangan warga AADK dan rakan strategik agensi itu ditumbangkan di seluruh negara. 

Katanya, empat lembu sumbangan Ibu Pejabat AADK, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan rakan strategik AADK, dikorbankan di PUSPEN Sepang, yang diagihkan kepada golongan asnaf, kakitangan sokongan AADK dan klien yang sedang menjalani program rawatan serta pemulihan di AADK.-BH Online