KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa satu siasatan yang menyeluruh, saksama dan telus dijalankan berhubung dakwaan penyeksaan serta layanan tidak berperikemanusiaan dilakukan tentera Israel terhadap aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dari negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan juga menuntut supaya kebajikan, maruah dan hak undang-undang aktivis terbabit yang ditahan dalam insiden itu dilindungi.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius dakwaan mengenai penderaan fizikal, layanan kasar, ugutan dan penafian hak asasi yang dialami rakyat negara ini pada misi kemanusiaan berkenaan.
“Kami kekal komited sepenuhnya dalam melindungi rakyat Malaysia di luar negara berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya kepada New Straits Times (NST) hari ini.
Selasa lalu, peguam yang mewakili rakyat Malaysia dalam misi GSF 2.0 menyatakan mereka sedang bersiap sedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa Israel.
Peguam Dir Kheizwan Kamaruddin berkata, pasukan perundangan kini sedang mengumpul testimoni saksi, rekod perubatan, bukti bergambar dan dokumentasi lain sebelum memutuskan mekanisme undang-undang antarabangsa yang paling sesuai, termasuk kemungkinan membawa kes ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Antara dakwaan sedang didokumentasikan termasuk penculikan, serangan fizikal, ugutan, layanan yang menghina, penafian makanan dan rawatan perubatan yang mencukupi, penderaan psikologi serta paksaan menanggalkan hijab bagi tahanan wanita.
Sebelum ini, 428 aktivis kemanusiaan yang menaiki kapal GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia, ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa sebelum dilaporkan dibebaskan pada 21 Mei lalu.
Penahanan itu mendapat kecaman hebat pada peringkat antarabangsa daripada beberapa negara termasuk Turkiye, Itali, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal, serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).
Sementara itu, Saifuddin turut menggesa usaha diplomatik diteruskan bagi mengelak ketegangan berlarutan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan pada peringkat antarabangsa.
“Saya juga dimaklumkan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan hak asasi manusia dan wakil undang-undang, sedang mengumpul testimoni serta bukti daripada aktivis terbabit,” katanya.-BH Online
