KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) masih berusaha mengesan waris seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di peti pelindung bayi atau ‘baby hatch’ di Johor Bahru, baru-baru ini bagi membincangkan masa depan bayi itu.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata setakat semalam pihaknya masih belum berjaya mengesan ahli keluarga bayi berkenaan walaupun terdapat nama yang ditinggalkan bersama bayi itu.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah memperoleh perintah mahkamah bagi mendapatkan penjagaan sementara oleh Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) terhadap bayi terbabit.
“Kita masih berusaha mengesan waris dan berharap mereka tampil bagi membincangkan masa depan bayi itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban Peringkat Parlimen Santubong di Rumah JKKK Kampung Bintawa, di sini, hari ini.
Nancy berkata, bayi perempuan itu kini ditempatkan di bawah jagaan individu yang layak dan sesuai sementara siasatan lanjut dijalankan pihak berkaitan.
Menurutnya lagi, tindakan individu terbabit meninggalkan bayi itu di peti perlindungan menunjukkan masih ada rasa tanggungjawab dan penyesalan kerana bayi berkenaan tidak dibuang sebaliknya diletakkan di tempat selamat.
“Kalau dia mahu buang bayi itu, dia tidak akan tinggalkan nama penuh bayi bersama maksud nama berkenaan. Ini menunjukkan ibunya masih ada rasa tanggungjawab dan bersalah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan peti pelindung bayi di negara ini diusahakan pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan hospital, manakala KPWKM membantu dari segi sokongan serta pemantauan.
“Cuma kita harapkan tiada pihak menyalah guna tempat itu dan mereka yang menyediakan peti perlindungan menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang bayi perempuan dipercayai berusia dua bulan ditinggalkan di Peti Perlindungan Bayi Orphan Care Foundation di Jalan Jerau 1, Taman Pelangi, Johor Bahru pada 23 Mac lalu bersama sekeping surat mencatatkan nama Ainul Inaayah Abdul Hadi yang membawa maksud ‘pembawa cahaya’ serta butiran kelahiran bayi itu pada jam 10 pagi, 22 Mac lalu.
Sementara itu, mengulas kes seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam baldi berisi air sabun di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, Seremban, Nancy berkata, pihak JKM Negeri Sembilan sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu termasuk dalam proses menemu bual ahli keluarga mangsa.
“Kes itu lebih kepada aspek penjagaan dalam kalangan keluarga, jadi kita masih belum mengetahui punca sebenar kejadian kerana ia membabitkan keadaan dalam rumah keluarga sendiri,” katanya.
Menurutnya, pihak JKM Negeri Sembilan juga akan memberi bantuan sokongan psikososial termasuk kaunseling kepada keluarga terbabit memandangkan kejadian itu memberi kesan emosi kepada ahli keluarga.
Nancy berkata, setakat semalam pegawai pelindung JKM masih dalam proses menemubual keluarga bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman dalam kenyataan berkata, bayi berkenaan disedari berada dalam keadaan terlangkup di dalam baldi berisi air kira-kira jam 2.30 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan, mendapati mangsa diasuh neneknya bermula jam 9 pagi pada hari kejadian sementara ibu dan bapa bayi keluar bekerja.
Mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan disahkan meninggal dunia pegawai perubatan pada jam 4.30 petang.-BH Online
