KUALA LUMPUR: Sebanyak 91 peratus daripada lebih 271,000 kandungan yang diminta diturunkan daripada platform media sosial oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 1 Januari lalu hingga semalam membabitkan jenayah scam dan judi dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keadaan ini menunjukkan jenayah siber di negara ini semakin membimbangkan dengan sebahagian besar kandungan dikesan disebarkan menerusi platform Facebook.
Beliau berkata, pada tahun lalu sahaja, sebanyak RM2.7 bilion diselewengkan oleh sindiket penipuan daripada mangsa di negara ini.
“Saya dimaklumkan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia bahawa pada tahun lalu, bank-bank di Malaysia berjaya menyekat kira-kira RM1.2 bilion yang cuba dicuri oleh scammer melalui mekanisme keselamatan institusi perbankan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Inter-Agency Retreat on Combating Online Scam 2026, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, hasil permukiman Inter-Agency Retreat on Combating Online Scam 2026 yang dianjurkan MCMC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati satu jawatankuasa khas wajar diwujudkan bagi membanteras jenayah berkenaan daripada terus berleluasa.
Katanya, jawatankuasa itu bukan sahaja berperanan menangani jenayah scam secara bersepadu, malah mampu mewujudkan kerjasama berkala dan berterusan antara agensi penguatkuasaan, badan kawal selia, syarikat telekomunikasi serta institusi perbankan.
“Melalui kerjasama lebih erat, teknik baharu digunakan sindiket penipuan dalam talian dapat dikenal pasti dengan lebih pantas, sekali gus membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara terselaras dan menyeluruh.
“Selain itu, beberapa aspek lain juga perlu diberikan perhatian termasuk dari sudut psikologi mangsa penipuan. Sering kali mereka hanya dilihat sebagai statistik sedangkan mangsa scam berdepan trauma serta tekanan emosi serius, khususnya apabila membabitkan kerugian besar.
“Oleh itu, usaha membantu mangsa memulihkan keadaan emosi dan psikologi mereka juga wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh dalam menangani jenayah scam,” katanya.-BH Online
