Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 23 Mei– Pembukaan semula Pejabat Pos Besar Lama (PPBL) di Blok 2, Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad, menjadi langkah penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur bukan sahaja sebagai hab perhubungan utama, malah sebagai bandar raya yang kaya dengan identiti dan nilai warisan.

Inisiatif di bawah Dana Warisan Kuala Lumpur itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menghidupkan semula aset bersejarah ibu negara, sekali gus memelihara khazanah warisan untuk generasi akan datang.

Bersempena hari pertama pembukaannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, mengadakan lawatan rasmi ke premis berkenaan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Pemuliharaan aset warisan itu dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menerokai Kuala Lumpur, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan serta merancakkan sektor pelancongan bandar.

PPBL, yang sebelum ini berfungsi sebagai pejabat pos utama Kuala Lumpur, kini diberi nafas baharu sebagai destinasi kulinari berteraskan warisan yang meraikan kepelbagaian tradisi makanan Malaysia.

Antara tarikan utama di ruang berkenaan ialah pengiktirafan “Budaya Sarapan Malaysia” dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada Disember 2024.

Ruang yang menghimpunkan lapan jenama tempatan terpilih itu menawarkan pengalaman yang menggabungkan elemen makanan, budaya dan komuniti dalam suasana yang lebih terbuka, santai dan mudah dikunjungi.-Berita RTM