JOHOR BAHRU: Kerajaan akan membincangkan peningkatan had kuota petrol bersubsidi BUDI95 bagi penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Selasa ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia bagi membantu meringankan beban pekerja gig di negara ini.
“Mesyuarat hari Selasa ini, saya akan bawa dalam mesyuarat, bincang. Sebab dia (pemandu p-hailing) dapat 200 liter sama macam kitalah, RON95 200 sahaja liter.
“Jadi saya kata, nanti saya peringatkan saudara Fahmi (Datuk Fahmi Fadzil), kita cari jalan kalau sekurang-kurangnya naik 50 (liter), (menjadi) 250 (liter),” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, di sini.
Anwar berkata cadangan itu tercetus hasil inisiatif beliau sendiri yang turun padang untuk bertanya dan mendengar keluhan golongan penghantar makanan mengenai kuota sedia ada.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengumumkan kelulusan peruntukan segera RM1 juta bagi membiayai kerja baik pulih mendesak di kawasan perumahan berkenaan.
“Saya luluskan RM1 juta dulu… sekurang-kurangnya apa yang mendesak dulu. Kalau yang pecah kah, pintu kah apa sebagainya, kita baik pulih,” katanya.
Pada majlis sama, Perdana Menteri mengarahkan pegawainya menyegerakan bantuan membaiki kemudahan tandas rosak di Sekolah Bukit Mutiara selepas perkara itu dibangkitkan warga penduduk.-BH Online
