SEGAMAT, 17 Mei – Kementerian Pertahanan akan menyerapkan elemen baharu berkaitan literasi pertahanan negara kepada masyarakat dalam pelaksanaan Program Jiwa Murni (PJM) MADANI yang melibatkan peruntukan RM6 juta pada tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, elemen itu penting bagi membina kesedaran rakyat mengenai landskap ancaman moden siber dan hibrid, selain daripada agenda sedia ada seperti kerja-kerja baik pulih kemudahan awam secara bergotong-royong.
“Matlamatnya wujudkan hubungan, kita harap bila anggota tentera turun untuk laksana, dia bersama masyarakat akan bergotong-royong dan kita akan adakan satu lagi elemen baru kemudian literasi rakyat masyarakat mengenai pertahanan negara itupun akan dimasukkan sekali,” katanya ketika ditemui pada Program Jiwa Murni MADANI di Dewan Semai Bakti, Felda Moakil, di sini hari ini.
Ujarnya, RM3 juta daripada peruntukan tahun ini telah diagihkan untuk fasa pertama yang merangkumi 57 projek komuniti di pelbagai lokasi setempat.
Beliau menambah, pendekatan itu turut diperkukuh melalui Program Ilmu dan Muafakat Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (PIKAT) yang memfokuskan kepada pengisian berilmiah serta kerohanian bagi merapatkan jurang antara tentera dan sivil.
Tegasnya, masyarakat perlu faham bahawa ancaman masa kini tidak lagi bersifat konvensional semata-mata, sebaliknya merangkumi taktik hibrid yang menyasarkan kelumpuhan struktur kritikal serta penyebaran maklumat palsu bagi memecah-belahkan keharmonian negara.-Berita RTM
