JOHOR BAHRU, 17 Mei– Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya pelajar yang memiliki UEC tetap perlu menduduki
SPM sebagai syarat asas pendidikan negara.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata lebih 80 peratus pelajar UEC telah menduduki SPM dalam tempoh lima tahun lalu, sekali gus menolak dakwaan bahawa mereka tidak mengikuti dasar pendidikan kebangsaan.
Menurut beliau, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani isu berkenaan disifatkan sebagai pendekatan berani selepas perkara itu dibincangkan sejak sekian lama.
Dalam masa sama, Anthony menegaskan pengiktirafan UEC perlu dilihat sebagai isu pendidikan dan akses yang adil kepada pelajar, bukannya isu politik atau pengabaian terhadap Bahasa Melayu.
“Jangan kita terperangkap dalam polemik ini. Isu UEC ialah isu pendidikan dan akses kepada ilmu. Hari ini, matlamat kita adalah untuk melihat anak-anak Malaysia menguasai pelbagai bahasa. Hebat Bahasa Melayunya, hebat Bahasa Cinanya dan hebat Bahasa Inggerisnya. Inilah aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.
Tegas Anthony, kerajaan akan terus memperkukuh Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, di samping menggalakkan penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan generasi muda.-Berita RTM
