JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menerima dana asing untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil, berkata ia bagi membolehkan siasatan dilakukan bagi mengesahkan dakwaan terhadap tuduhan berkenaan.
“Saya percaya ada (laporan polis dibuat), tetapi saya tak boleh sahkan, boleh tanya pihak polis mengenai laporan itu,” katanya selepas Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan sebuah syarikat tempatan dan beberapa individu menerima dana asing untuk menjalankan aktiviti politik yang boleh mengancam keselamatan serta kestabilan negara.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim memetik laporan itu mendakwa wujud transaksi kewangan membabitkan The Tides Foundation berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) kepada sebuah syarikat tempatan melalui beberapa transaksi berjumlah lebih RM1.5 juta.
Beliau turut merujuk dakwaan yayasan itu membuat tujuh transaksi berjumlah RM686,729 kepada pengarah eksekutif sebuah NGO dan beberapa individu dikaitkan dengan NGO berkenaan sepanjang 2024 hingga 2025.
Bagaimanapun, NGO berkenaan dalam kenyataan menafikan tuduhan itu yang didakwa bersifat politik dan bertujuan menyerang organisasi anak muda yang lantang menyuarakan pelbagai isu termasuk berkaitan rasuah.-BH Online
