KUANTAN, 14 Mei –Projek penggantian paip usang di Pahang sedang giar dilaksanakan melibatkan kos kira-kira RM290 juta.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini sebanyak 94.3 daripada keseluruhan 607.3 kilometer (km) paip telah berjaya digantikan.
Katanya, sepanjang 101 km paip masih dalam pembinaan manakala sepanjang 412 km lagi dalam pra-pembinaan.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan antara lain bagi meningkatkan kualiti bekalan air dan mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).
“Kita akan berusaha kerana isu air ini merupakan masalah bersama yang sangat penting dan menjadi tuntutan rakyat negeri Pahang.
“Kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa 90 peratus kawasan blackspot akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan Hassanuddin Salim (PN-Kuala Semantan) yang ingin tahu jumlah keseluruhan panjang paip bekalan air lama dan uzur yang dikenal pasti serta perlu diganti di Pahang.
Datuk Seri Wan Rosdy berkata, Pahang ketika ini mempunyai keseluruhan rangkaian sistem agihan paip yang menjangkau kira-kira 15,000 km di seluruh negeri, meliputi kawasan bandar, luar bandar serta kawasan dengan bentuk muka bumi yang mencabar.
Selain itu, katanya, lebih 90 peratus masalah air di daerah Kuantan, Temerloh, Bentong dan Raub telah diselesaikan.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan sistem bekalan air bagi memastikan penyampaian perkhidmatan air lebih cekap, stabil berkualiti dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya.-Berita RTM
