Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERDANG: Industri kenderaan komersial kekal sebagai tulang belakang pertumbuhan ekonomi negara berikutan peranannya dalam rantaian bekalan dan sistem perdagangan, namun sektor itu kini perlu menyesuaikan diri dengan teknologi baharu termasuk kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan autonomi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sektor logistik dan pengangkutan komersial memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pergerakan barangan termasuk eksport dan import ke pelabuhan serta penghantaran peringkat akhir (last mile) kepada pengguna.

“Tanpa kenderaan komersial, ekonomi tidak dapat berfungsi dengan baik kerana semua barang masih perlu diangkut dan dihantar ke pasaran,” katanya selepas pelancaran Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini memiliki ekosistem logistik yang kompetitif dengan pembabitan pemain tempatan dan antarabangsa yang semakin berkembang ke arah perkhidmatan lebih menyeluruh.

Pada masa sama, Loke berkata kerajaan terus menyokong industri logistik menerusi subsidi diesel bagi memastikan kos pengangkutan kekal rendah, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam penghantaran jarak akhir.

Bagaimanapun, beliau berkata sektor itu perlu mula menyesuaikan diri dengan teknologi baharu termasuk penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan autonomi.

“Di China, teknologi penghantaran jarak akhir kini telah mula memanfaatkan kenderaan autonomi. 

“Minggu lalu, saya bertemu dengan sebuah syarikat yang ingin mendapatkan kelulusan ujian konsep awal (proof of concept) untuk pelaksanaan teknologi ini di Malaysia, dan kerajaan bersedia untuk meneliti cadangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan sedang meneliti kerangka perundangan dan kawal selia bagi membolehkan ujian kenderaan autonomi dilaksanakan secara selamat di negara ini.

Loke berkata Malaysia masih belum mempunyai rangka kerja undang-undang khusus untuk kenderaan autonomi, namun kerajaan sudah mengarahkan pegawai berkaitan mencari lokasi sesuai sebagai tapak ujian atau ruang ujian terkawal (sandbox) bagi membolehkan teknologi itu diuji.

“Kita perlu pragmatik. Kita mahu teknologi ini diuji tetapi pada masa sama perlu pastikan aspek keselamatan dan liabiliti diambil kira,” katanya.

Beliau berkata antara lokasi yang sesuai untuk ujian awal ialah kawasan tertutup seperti pelabuhan dan lapangan terbang kerana ia tidak bercampur dengan trafik awam selain dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.

“Banyak sektor logistik sekarang menghadapi kekurangan pekerja terutama pemandu. Teknologi autonomi boleh menjadi penyelesaian praktikal kepada isu itu,” katanya.

Mengulas penggunaan EV trak, Loke berkata cabaran terbesar ketika ini ialah kos pembelian yang tinggi serta kekurangan infrastruktur pengecasan.

Katanya, harga trak EV ketika ini adalah dua hingga tiga kali ganda lebih mahal berbanding trak diesel biasa, sekali gus menjadi penghalang utama kepada syarikat pengangkutan untuk beralih kepada EV.

Sehubungan itu, kerajaan akan membincangkan cadangan insentif termasuk pengecualian cukai dalam mesyuarat pasukan petugas EV minggu depan bagi menggalakkan penggunaan EV komersial (trak elektrik)

Selain kos, beliau berkata ekosistem pengecasan terutama bagi perjalanan rentas negeri juga perlu diperkukuh sebelum penggunaan trak elektrik dapat diperluaskan.

“Kalau perjalanan dari utara ke selatan, trak elektrik perlu kemudahan pengecasan di sepanjang laluan kerana jarak operasi masih terhad sekitar 300 hingga 400 kilometer sahaja,” katanya.

Loke berkata kerajaan juga sedang meneliti kemungkinan menjadikan kemudahan pengecas EV sebagai sebahagian daripada fasiliti standard di stesen minyak pada masa depan.

Beliau menegaskan kerajaan mengambil pendekatan galakan dalam memperluaskan penggunaan EV kerana peralihan itu memerlukan sokongan industri dan pembangunan ekosistem secara bersama.-BH Online