KUALA LUMPUR: Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) akan menyediakan khidmat pengantaraan bagi menyelesaikan 26 jenis pertikaian komersial secara percuma untuk nilai tuntutan RM250,000 ke bawah menerusi Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono AIAC yang akan diluncurkan pada 18 Mei ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata inisiatif itu adalah langkah penting dalam menyokong hasrat Kerajaan MADANI untuk memperkukuh akses kepada keadilan yang lebih cepat, mudah diakses dan kos efektif bagi semua rakyat.
“Jemaah Menteri semalam sudah dimaklumkan mengenai aspirasi nasional penubuhan Pusat Mediasi MADANI (PMM) bagi menyokong agenda Kerajaan MADANI dalam memperluas akses rakyat kepada sistem keadilan negara (access to justice) melalui mekanisme pengantaraan atau mediasi.
“Bagi tujuan ini, PMM akan memainkan peranan penting dalam memperkasakan perkhidmatan pengantaraan di Malaysia secara bersasar dan holistik, khususnya dengan mempergiatkan usaha-usaha advokasi mengenai pengantaraan dam memperkasakan kompetensi pengantara dalam negara.
“Ia juga bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap mekanisme pengantaraan, sekali gus menjalin kerjasama strategik bersama agensi-agensi dan institusi-institusi berkaitan secara inklusif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azalina berkata, skop pertikaian komersial berkenaan merangkumi perkhidmatan, pembekalan, jual beli, perdagangan dan pemasaran, hartanah, syarikat dan perkongsian, e-dagang serta ekonomi digital.
“Bermula 18 Mei 2026, orang ramai boleh merujuk pertikaian komersial berkenaan terus kepada AIAC atau dalam talian.
“Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, terdapat seramai 170 orang pengantara tempatan dan antarabangsa sudah mengemukakan sokongan terhadap AIAC dan menyatakan kesediaan mereka untuk mengendalikan proses mediasi bagi pertikaian komersial secara percuma setakat ini,” katanya.
Katanya, pendekatan itu dijangka memberi manfaat penting khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan usahawan dan penggiat industri termasuk industri kreatif serta rakyat yang berhadapan dengan pertikaian bernilai kecil.
“Inisiatif berkenaan adalah manifestasi komitmen berterusan Kerajaan MADANI selaras dengan agenda reformasi institusi serta usaha meningkatkan kecekapan sistem keadilan negara demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.-BH Online
