Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara disaran mempertimbangkan pengurangan kadar sewaan premis perniagaan, gerai dan medan selera seliaan mereka sehingga penghujung tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata langkah itu adalah usaha proaktif Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan rakyat dan membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil yang berhadapan peningkatan kos operasi ketika ini.

“Langkah strategik ini bertujuan meringankan beban kos operasi ditanggung penjaja dan peniaga kecil tempatan, sekali gus memangkin pertumbuhan ekonomi pada peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Dengan memberikan pengurangan sewa ini, kita bukan sahaja membantu kelangsungan hidup peniaga kecil, malah turut membantu memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna,” katanya.

Beliau berkata, cadangan dikemukakan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) agar PBT membantu peniaga yang menyewa di premis atau kedai di bawah seliaan mereka melalui insentif adalah wajar sebagai langkah segera membantu rakyat.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan semua PBT di seluruh negara bagi meneliti kaedah pelaksanaan yang bersesuaian mengikut kemampuan kewangan dan keperluan setempat demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan ekosistem ekonomi bandar terus diperkukuh.

“Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. Kita mahu memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara dan terus menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Kor Mingi berkata, inisiatif pengurangan sewaan akan melengkapkan pelbagai usaha berterusan membantu rakyat dan komuniti peniaga kecil termasuk pelaksanaan program bantuan keusahawanan, penyediaan kemudahan perniagaan lebih kondusif, penaiktarafan medan selera dan pasar awam serta pelaksanaan inisiatif seperti MyKiosk.

Selasa lalu, MTEN menggesa PBT dan kerajaan negeri di seluruh negara mengurangkan kadar sewa premis atau kedai di bawah seliaan mereka berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata langkah itu penting bagi membolehkan peniaga kecil, pengusaha pasar malam dan usahawan mikro bertahan susulan peningkatan kos operasi yang kini secara purata mencecah antara tujuh hingga 58 peratus daripada keseluruhan kos perniagaan mereka.-BH Online