Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTATAN: Sembilan pakej kerja (WP) bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata ia membabitkan WP 1, 3, 4, 7, 8, 10, 11, 29 dan 30, tambahan kepada empat kerja yang sudah siap lebih awal antara 2023 hingga 2025, iaitu WP 5, 15, 21 dan 27.

“Kita komited mempercepatkan pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah bagi memastikan kemudahan untuk rakyat dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya pada sidang media di Jabatan Kerja Raya (JKR) Putatan, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKR Sabah, Baharuhom KK Sogon.

Katanya, empat lagi pakej kerja dijangka siap tahun depan membabitkan WP 2, WP 12, WP 19 dan WP28, manakala baki kerja dijadual siap secara berperingkat sehingga 2030.

“Jangkaan kami, 12 pakej kerja lagi siap pada 2028, tiga pada 2029 dan akhirnya WP 26, 34 dan 35 akan disiapkan pada 2030, sekali gus melengkapkan Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan 1B,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi pakej kerja akan dibuka pada Julai ini bagi menghubungkan Putatan dengan Menggatal tanpa melalui pusat bandar Kota Kinabalu, iaitu laluan WP 6 dan 7 yang dijangka membantu mengurangkan kesesakan trafik di ibu negeri.

Mengenai Pan Borneo Sabah Fasa 1B, Ahmad berkata, kerja pengalihan utiliti Sabah Electricity, Jabatan Air Negeri Sabah dan Telekom Malaysia sudah dimulakan selepas isu pelantikan subkontraktor selesai hasil koordinasi kementerian dan agensi berkaitan menerusi mesyuarat bulanan.

“Cabaran utama kontraktor ketika ini ialah aspek pengurusan projek dan kewangan, namun kementerian sentiasa memantau rapi bagi memastikan projek berjalan lancar. Kita mahu keputusan dibuat segera, pemantauan terus dipertingkatkan supaya projek dapat siap mengikut sasaran,” katanya.-BH Online