KLUANG: Kementerian Pertahanan akan memulakan proses penilaian bagi perolehan Pesawat Pejuang Pelbagai Peranan (MRCA) menjelang 2030, selari dengan rancangan penggantian aset udara utama negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu bagi menggantikan pesawat pejuang F-18 dan Sukhoi Su-30MKM sedia ada yang dijangka ditamatkan perkhidmatannya sekitar 2035.
“Kita mempunyai pesawat F-18 dan Sukhoi yang dijangka di decommission (ditamatkan perkhidmatan) pada 2035. Maknanya, menjelang 2030 kita perlu mula menilai kapal terbang apa yang mahu dibeli untuk menggantikan aset berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Kem Batu 3, di sini hari ini.
Mengulas mengenai penggantian pesawat Hawk, Mohamed Khaled berkata, ATM akan menerima 18 pesawat tempur ringan FA-50 secara berperingkat bermula akhir tahun ini.
Beliau berkata, perolehan FA-50 itu adalah langkah strategik memandangkan pesawat Hawk yang digunakan ketika ini berasaskan teknologi lama dan akan ditamatkan perkhidmatannya dalam masa terdekat.
“FA-50 ini mempunyai keupayaan teknologi yang lebih baik daripada Hawk. Ia bukan sahaja akan menggantikan Hawk tetapi juga bertindak sebagai pelengkap kepada pesawat pejuang F-18 dan Sukhoi yang kita miliki sekarang,” katanya.
Sebelum ini kerajaan menandatangani surat setuju terima (SST) pesawat tempur FA-50 bernilai RM4.08 bilion dengan pengeluar tunggal pesawat Korea Selatan, Korea Aerospace Industries ( KAI) pada Februari 2023.
Perjanjian pembelian itu kemudiannya dimeterai semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).
Menyentuh mengenai rancangan awal untuk mendapatkan pesawat F-18 daripada Kuwait, Mohamed Khaled berkata, cadangan itu dibatalkan atas sebab tertentu.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan 18 pesawat FA-50 yang bakal diterima itu sudah mencukupi bagi tujuan menjaga kedaulatan dan pertahanan ruang udara negara buat masa ini.
Katanya, lawatan kerja beliau ke Russia baru-baru ini juga memberi peluang kepada Malaysia untuk melihat dan menilai teknologi ketenteraan terkini bagi memastikan perolehan aset pertahanan negara pada masa hadapan selari dengan Doktrin Pertahanan Negara.
“Pemerhatian terhadap pelbagai jenis aset termasuk pesawat pejuang, kapal, peluru berpandu dan radar adalah penting bagi membolehkan kementerian membuat perbandingan teknologi terbaik yang terdapat di pasaran global,” katanya.-BH Online
