Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Dana pembiayaan Bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) akan dinaikkan kepada RM1 bilion.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata jumlah itu meningkat berbanding RM300 juta yang diumumkan ketika mula menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sebelum dinaikkan kepada RM500 juta pada tahun ini.

Beliau berkata, setakat April tahun ini, TEKUN berjaya meluluskan pembiayaan kira-kira RM360 juta kepada hampir 20,000 usahawan. 

“Saya ingin mengumumkan kita akan menaikkan dari sebelum ini RM300 juta ke RM500 juta dan hari ini ke RM1 bilion.

“Kenaikan jumlah ini sebab kita nampak memang ada sambutan yang cukup menggalakkan daripada usahawan.

“Ini juga sebahagian daripada usaha PowerUp 10K KUSKOP untuk menghebatkan perniagaan Malaysia dan kita mahu lebih banyak suntikkan dana kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi TEKUN Nasional 2026 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di sini, malam ini.

Sempena majlis itu, sebanyak lima kategori anugerah disampaikan kepada 247 penerima iaitu Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Khidmat Setia, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Kecemerlangan TEKUN dan Anugerah Pencapaian tahun 2025.

Yang turut hadir, Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin.

Mengulas lanjut, Sim berkata, suntikan dana lebih besar itu penting bagi membantu usahawan berdepan cabaran geopolitik dan geoekonomi semasa, selain membolehkan mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pada masa sama, beliau menggariskan pendekatan 3C iaitu Cekap, Cermat dan Canggih sebagai panduan kepada TEKUN untuk terus relevan dan berkesan membantu usahawan.

Menurut beliau, elemen pertama ialah ‘Cekap dan Cepat’ dengan proses permohonan serta kelulusan pembiayaan perlu disegerakan.

Beliau memberi contoh Pembiayaan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) yang diumumkan sebelum Ramadan apabila TEKUN berjaya memberikan kelulusan pembiayaan dalam tempoh tujuh hari berbanding dua minggu hingga sebulan sebelum ini.

“Saya harap TEKUN dapat terus mengekalkan sasaran memberikan kelulusan dalam tempoh sesingkat mungkin, tertakluk kepada dokumen lengkap dan syarat dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata, elemen kedua ialah ‘Cermat’, iaitu memastikan setiap permohonan diteliti dengan baik supaya usahawan tidak dibebankan hutang di luar kemampuan mereka.

Katanya, TEKUN juga perlu memainkan peranan membimbing usahawan supaya berjaya dalam perniagaan dan mampu membuat bayaran balik pembiayaan.

Sim berkata, elemen ketiga pula ialah ‘Canggih’ iaitu TEKUN perlu mula memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi dan berteknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), digital dan teknologi baharu.

“Saya sudah mengarahkan pengurusan KUSKOP dan TEKUN melihat strategi khas untuk membantu usahawan Bumiputera menceburi sektor teknologi, AI dan digital,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sektor tradisional seperti makanan dan perusahaan mikro terus diberi perhatian, perubahan landskap ekonomi memerlukan usahawan beralih kepada bidang lebih berteknologi dan berdaya saing.-BH Online