KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengakui dasar pelantikan pegawai perubatan awam secara kontrak yang diperkenalkan kerajaan pada 2016 mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.
Namun, beliau menjelaskan, khidmat kontrak itu bukan satu-satunya punca penghijrahan doktor ke luar negara atau menyertai sektor swasta, sebaliknya hanya sebahagian daripada isu lebih besar membabitkan ekosistem tenaga kerja kesihatan negara.
Atas dasar itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang melaksanakan enam langkah besar memperbaiki keadaan, termasuk menambah jawatan tetap secara berperingkat, termasuk kelulusan tambahan 4,500 jawatan tetap kepada doktor kontrak bermula tahun ini.
“Selain itu, KKM turut menyegerakan pengisian ribuan kekosongan jawatan di fasiliti kesihatan seluruh negara dan memperkukuh laluan latihan kepakaran termasuk ‘Parallel Pathway’ dan latihan kepakaran tempatan.
“Langkah ke empat ialah KKM menambah peruntukan bagi pembangunan doktor pakar kerana negara dijangka kekurangan lebih 13,000 doktor pakar menjelang 2030 seperti dilaporkan sebuah kajian sebelum ini.
“KKM turut meneliti semula isu kebajikan, waktu kerja dan persekitaran kerja petugas kesihatan serta langkah terakhir ialah melaksanakan reformasi kesihatan yang lebih besar termasuk pendigitalan kesihatan, pengukuhan penjagaan primer dan pembiayaan kesihatan lebih mampan,” katanya kepada BH.
Beliau mengulas dakwaan oleh Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu, bahawa sistem doktor kontrak adalah suatu kegagalan dasar yang dilaksanakan KKM.
Dr Thirunavukarasu berkata, natijah pelaksanaan dasar itu menyebabkan lebih ramai tenaga kerja perubatan berhijrah ke luar negara kerana berasa tidak mempunyai masa depan yang baik dalam perkhidmatan kesihatan awam dalam negara.
7 faktor dorong doktor tinggalkan sektor awam
Pada masa sama, Dr Dzulkefly mendedahkan, pihaknya mengesan tujuh faktor mendorong doktor meninggalkan sektor awam iaitu beban kerja semakin tinggi akibat peningkatan jumlah pesakit, namun ia tidak selari dengan pertambahan tenaga kerja.
Beliau berkata, berlaku tekanan kerja dan isu keseimbangan kerja serta kehidupan, selain tawaran gaji dan insentif yang jauh lebih kompetitif dalam sektor swasta, juga dari negara jiran seperti Singapura.
“Faktor lain termasuk laluan latihan kepakaran yang terhad dan mengambil masa panjang serta kekangan kenaikan pangkat dan pembangunan kerjaya. Tugas pentadbiran serta birokrasi yang membebankan doktor klinikal serta isu persekitaran kerja dan kebajikan di fasiliti kesihatan tertentu.
“Saya menghormati pandangan dibangkitkan MMA dan saya sendiri sejak awal mengakui bahawa sistem kontrak yang diperkenalkan pada 2016 mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki. Namun, kita juga perlu berlaku adil dan melihat isu ini secara lebih menyeluruh serta berasaskan realiti semasa sistem kesihatan negara,” katanya.
Dr Dzulkefly menjelaskan, sistem kontrak diperkenalkan ketika negara berdepan lambakan graduan perubatan serta kekangan fiskal kerajaan pada waktu itu.
Katanya, maka perkhidmatan kontrak adalah langkah sementara bagi memastikan graduan perubatan tetap dapat memasuki sistem dan menjalani latihan siswazah.
“Apa yang penting sekarang bukan sekadar menyalahkan dasar lama tetapi memastikan reformasi menyeluruh dilakukan supaya profesion perubatan kembali diyakini dan dihargai.
“Bagi saya, isu ini bukan soal ‘kontrak versus tetap’ semata-mata. Isu sebenar ialah bagaimana kita membina sistem kesihatan yang mampu memberi harapan kerjaya, kebajikan yang adil, peluang kemajuan profesional dan suasana kerja yang lestari kepada doktor muda kita.
“Kerajaan mendengar suara mereka. Reformasi sedang berjalan dan saya percaya penyelesaian kepada krisis tenaga kerja kesihatan memerlukan pendekatan menyeluruh, bukan penyelesaian populis yang agak simplistik,” katanya.-BH Online
