GERAKAN Reformasi 25 tahun masih belum sepenuhnya berjaya selagi Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dihadapkan ke mahkamah, demikian pandangan Datuk Lokman Noor Adam.
Pengarah Komunikasi Umno itu menjelaskan, gerakan reformasi tercetus 25 tahun dulu menentang amalan korupsi, kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu.
Walaupun dengan pelantikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, namun Lokman berpandangan gerakan reformasi itu belum berjaya sepenuhnya.
“Kalau tanya saya Reformasi berjaya tak? Tak berjaya. Sebab kita nak hapuskan korupsi, kronisme dan nepotisme…tapi sampai sekarang (Mahathir tak didakwa di mahkamah).
“Untuk mengukur kejayaan Reformasi sekurang-kurangnya kena heret Mahathir ke mahkamah,” katanya pada forum sempena ulang tahun ke-25 gerakan reformasi di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, di ibu negara, semalam.
Lokman antara panelis dalam forum itu selain kartunis politik Zunar, pengarang Hasmi Hashim, bekas ketua pengarang The Rocket dan wartawan veteran Wan Hamidi Hamid serta bekas senator Yusmadi Yusoff.
Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, tidak seperti Anwar, beliau tidak pernah mempercayai Dr Mahathir sama sekali.
Beliau antara penyokong awal gerakan reformasi yang diterajui Anwar sehingga tertubuhnya Parti Keadilan Nasional pada 1999 telah dua kali menjalani tahanan tanpa perbicaraan (ISA) dibawah pemerintahan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Menceritakan bagaimana gerakan reformasi tercetus, Lokman berkata, segalanya bermula ketika beliau berada dalam Pemuda Umno di bawah pimpinan Ketua Pemuda Umno ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, Zahid pada masa
itu memperkenalkan tema “Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi” untuk menyokong Anwar, yang ketika itu menteri kewangan, timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, dalam usaha mencabar dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Dr Mahathir yang pada masa itu perdana menteri dan presiden Umno.
“Kelantangan Pemuda Umno ketika itu kita menentang korupsi, kronisme dan nepotisme…. dan ini yang membawa kepada pemecatan Anwar,” katanya. -Media Perpaduan