Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JENTERA Barisan Nasional (BN) diingatkan jangan terlalu yakin dan mendabik dada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai mudah ditawan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Sebaliknya, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerja keras perlu dilipatgandakan tanpa rasa selesa di Pelangai.

Meskipun di atas kertas dilihat BN berpeluang cerah, namun bagi Zahid ianya bukan bermakna jentera BN boleh terlalu yakin tanpa berusaha keras bagi menawan kerusi DUN berkenaan.

“Jangan pernah ambil mudah, dulu Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dapat majoriti 4,000 lebih dan calon PH (Pakatan Harapan) dapat 2,000 lebih, atas kertas jumlahnya memang melebihi 6,000.

“Tetapi jangan pernah terlalu yakin sebab pihak lawan telah bermukim di sini dan menggunakan pendekatan tidak melakukan ceramah besar-besaran.

“Apa kita lakukan mesti mengambil langkah antaranya mendekati dan merapati pengundi di Pelangai,” katanya ketika ditemui media.

Zahid yang juga Presiden Umno dilihat memimpin perarakan BN di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, Bentong, hari ini.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Dalam pada itu, faktor anak tempatan dan diterima masyarakat menjadi pertaruhan BN bagi memastikan Pelangai kekal menjadi kerusi tradisi BN.

“BN menaruh penuh harapan agar calon kita pilih ini sangat terkenal dalam kalangan orang Pelangai dan beliau juga adalah anak FELDA.

“Tentunya lebih sikit dan 16,000 pengundi di Pelangai sangat mengharapkan agar dilakukan kesinambungan perkhidmatan sebagaimana dilakukan Johari.

“Kita berterima kasih kerana rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk Datuk Seri Mohamad Sabu rakan-rakan yang lain, ini satu keserasian yang talah terbentuk.

“Di Johor kami membantu mereka dan di sini mereka pula membantu kita,” kata Zahid.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian Johari dalam nahas pesawat ringan di bandar Elmina, dekat Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 September sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober sebagai hari mengundi.

Pada pilihan raya umum lalu Johari memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH)(2,031 undi) dan Isa Ahmad (Pejuang) (65 undi). -Media Perpaduan