Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NILAI: Jemaah haji Malaysia diingatkan mematuhi saranan dan nasihat doktor, pegawai kesihatan serta petugas Tabung Haji (TH) sepanjang berada di Tanah Suci bagi memastikan mereka dapat melaksanakan Rukun Islam kelima itu dengan lancar dan selamat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata suhu di Arab Saudi ketika ini sekitar 34 hingga 35 darjah Celsius dan dijangka meningkat dari semasa ke semasa, justeru jemaah perlu menjaga kesihatan sepanjang menunaikan ibadah berkenaan.

“Keadaan di Arab Saudi dan Tanah Suci ketika ini sangat baik dan jemaah perlu mematuhi nasihat doktor, pegawai kesihatan serta petugas di sana. Mereka perlu fokus menjalani ibadah dengan sebaiknya,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Buku Modul dan Kursus Akademi Seni Media Islam (ASMI) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang turut dihadiri Pro Canselor USIM, Tunku Zain Al ‘Abidin Tuanku Muhriz.

Sementara itu, Zulkifli berkata, program ASMI anjuran USIM dan AlHijrah itu adalah inisiatif strategik dalam memperkenalkan buku modul serta kursus latihan yang dirangka bagi membangunkan bakat, kemahiran dan kompetensi pengamal media Islam.

Beliau berkata, peranan media Islam kini semakin kritikal dan tidak lagi boleh dilihat sebagai alternatif, sebaliknya tampil sebagai rujukan utama yang mengangkat naratif kebenaran, keadilan serta kesejahteraan.

“Kita mendepani fenomena ‘lambakan maklumat’ di merata media sosial yang sering mengaburkan garis pemisah antara perkara benar dan batil. 

“Media bukan sekadar alat menyalurkan berita tetapi menjadi instrumen yang boleh membentuk dan mempengaruhi cara pemikiran, gaya hidup serta sistem nilai sesebuah masyarakat,” katanya.

Program itu disertai 100 peserta daripada wakil universiti, industri media dan agensi lain dalam memberi tumpuan kepada komunikasi dakwah, penerbitan kandungan media Islam, pengurusan media, strategi penyampaian dakwah kepada pelbagai golongan masyarakat serta pengurusan krisis media. – BERNAMA