PUTRAJAYA: Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan dilaksanakan sepenuhnya September ini seiring peningkatan ciri keselamatan MyKad Jun ini, dalam usaha memperkukuh sistem identiti negara serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu akan menjadi detik penting bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkemas pengurusan identiti negara serta memastikan pergerakan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih lancar dan teratur.
Dokumen baharu itu membabitkan kad pengenalan dan pasport yang dilengkapi ciri keselamatan terkini, selaras dengan keperluan semasa dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“Saya percaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia dengan pelan A dan pelan B.
“Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah dengan baik kerana sampai satu tempoh, kita kena mengeluarkan dokumen yang baharu sifatnya, dengan ciri keselamatan yang lebih baik dan kita telah berusaha sekian lama untuk ke arah itu,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan KDN di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga sudah bergerak jauh apabila sistem ini menyediakan semua prasyarat atau enabler sebelum ia diluncurkan September ini untuk membolehkan pengisian maklumat permohonan kewarganegaraan seperti yang diluluskan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Media sebelum ini melaporkan KDN dalam usaha melaksanakan kerja naik taraf dan migrasi data bagi MyNIISe untuk memperkukuh keselamatan data dan meningkatkan kecekapan sistem demi memastikan perkhidmatan imigresen yang lebih stabil, cekap serta mesra pengguna.
MyNIISe akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang telah digunakan lebih 20 tahun kerana sistem lama itu tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran keselamatan global, volum pergerakan yang tinggi, serta keperluan integrasi data semasa.
Saifuddin Nasution pada Januari berkata Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu dalam tempoh enam bulan lagi sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution turut menekankan kepentingan aspek keselamatan sempadan serta kecekapan sistem imigresen dalam menguruskan kemasukan dan pergerakan keluar masuk negara.
“Sebab pada saya, ini sebagai satu KPI (petunjuk prestasi utama) yang penting buat KDN tahun ini. Sempadan negara tak boleh dibolosi dengan pelbagai sindiket yang membelakangkan undang-undang,” katanya.-BH Online
