KUALA LUMPUR: UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan mengenai isu krisis pentadbiran di Negeri Sembilan melalui Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dijadual diadakan pada minggu depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata melalui pertemuan itu, ia akan turut membincangkan isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu akan berunding sekali dengan Biro Politik PH untuk kita melihat beberapa perkara yang membabitkan soal dasar dan pendirian kedua-dua parti dalam krisis pentadbiran di Negeri Sembilan.
“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu adalah terkait dengan soal dasar dan juga pendirian parti masing-masing. Jadi saya rasa kita kembali kepada perjanjian persefahaman membentuk kerajaan Perpaduan.
“Melaluinya, apabila berlaku salah faham atau perselisihan, maka kita ada medan kita iaitu Majlis Perundingan Pimpinan. Minggu depan ini kita akan bertemu,” katanya kepada pemberita, di sini.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata banyak aspek yang perlu dilihat dalam isu berkenaan kerana ia bukan hanya membabitkan soal individu namun juga kedaulatan institusi Raja dan juga adat.
Semalam, UMNO Negeri Sembilan menegaskan, parti itu rela menjadi pembangkang daripada bersama PH sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dilaporkan berkata ini kerana pihaknya tidak mahu terpalit dengan kesalahan yang dilakukan Aminuddin, terkait krisis adat dan Perlembagaan negeri itu.-BH Online
