MAKKAH, 2 Mei – Seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di kawasan dataran Masjidil Haram ketika mahu menunaikan solat fardhu Jumaat.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata jemaah lelaki berkenaan berasal dari Pahang dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri ketika kejadian.
Allahyarham terus dibawa ke Hospital Jiwar Jabal Omar, sebelum disahkan meninggal dunia di pusat rawatan berkenaan pada pukul 12:15 tengah hari (waktu tempatan) akibat komplikasi jantung.
“Jemaah berusia 65 tahun itu hadir bersama isteri ke Tanah Suci. Allahyarham daripada kumpulan KT12 dan menginap di Maktab 65, Al Kiswah Hotel,” katanya.
Beliau berkata, setelah selesai proses dokumentasi, jenazah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas solat Maghrib.
“Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea,” katanya ketika ditemui media.
“Dengan penuh dukacita, TH ingin menyampaikan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Kami mendoakan semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa, menerima segala amal ibadahnya serta ditempatkan bersama golongan yang beriman,” kata Hisham.
Beliau menambah, petugas kebajikan TH, kaunselor dan pembimbing ibadat haji telah menziarahi isteri Allahyarham untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya.
“Pihak TH akan melaksanakan badal haji bagi pihak Allahyarham serta menganjurkan majlis bacaan tahlil bersama para jemaah haji yang lain untuk Allahyarham dalam masa terdekat,” ujarnya.-Berita RTM
