Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera yang memfokuskan kepada enam aspek termasuk penilaian dasar pendidikan Bumiputera akan dimasukkan sebagai agenda besar dalam Majlis Pendidikan Negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata lima fokus lain yang akan dibincangkan dalam kongres ini ialah pengarusperdanaan aliran tahfiz; pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau yang juga Pengerusi Kongres Pendidikan Bumiputera berkata, ia turut memfokuskan terhadap aspek wakaf pendidikan serta hala tuju pendidikan negara pada masa hadapan.

“Segala dapatan dan perbahasan kongres ini akan dirumuskan dalam bentuk resolusi untuk diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kemudiannya diserahkan kepada Perdana Menteri.

“Ia akan dimasukkan ke dalam agenda besar melalui Majlis Pendidikan Negara supaya resolusi tidak hanya sekadar menjadi dokumen di rak pejabat, tetapi menjadi asas kepada tindakan nasional yang konkrit, berani dan berkesan,” katanya dalam ucapan halatuju kongres, di sini hari ini.

Seramai lebih 5,000 peserta menghadiri kongres ini yang membabitkan enam sesi utama; 25 pembentang pakar dan enam pengerusi serta moderator yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO.

Pada masa sama, Zambry berkata, masa depan pendidikan Bumiputera memerlukan iltizam politik yang berani bagi memastikan setiap pelaburan rakyat membuahkan hasil yang setimpal.

Beliau berkata, iltizam politik juga penting untuk memastikan setiap cadangan tidak berhenti sebagai wacana, tetapi diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang nyata dan berkesan.

“Jangan kita khianati tanggungjawab ini dengan sikap leka atau sekadar berpuas hati dengan angka di atas kertas… kita tidak mahu sekadar melahirkan angka statistik kemasukan ke universiti.

“Kita mahu melahirkan generasi Bumiputera yang mempunyai kekuatan ilmu, kemahiran, daya cipta, keyakinan diri serta keutuhan akhlak dan adab,” katanya.

Zambry berkata, pendidikan bukan sekadar instrumen mobiliti sosial, tetapi merupakan ruang muhasabah nasional bagi menilai semula kedudukan bangsa dalam landskap dunia yang berubah pantas.

Katanya, jurang pendidikan harus dirawat sejak peringkat awal kanak-kanak dan bukannya hanya bermula di menara gading berikutan kekuatan sesebuah bangsa diukur melalui kualiti ilmu dan nilai peradaban yang dimiliki.-BH Online