KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan gaji penengah bulanan di negara ini meningkat kepada RM3,500 pada 2030, manakala Pampasan Pekerja dijangka mencapai 40 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KDNK).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata bagi mencapai matlamat itu, kementerian itu akan memperkasa Majlis Perundingan Gaji Negara, termasuk menetapkan gaji permulaan untuk siswazah dan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Ini bukan impian. Ini perancangan yang sedang dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2026 dengan tema “Pekerja MADANI Kesuma Negara”, di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri-Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Selain itu, Ramanan memaklumkan, mulai Jun ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melaksanakan Skim LINDUNG 24 Jam yang akan memberi manfaat kepada 9.6 juta pencarum.
“Golongan pekerja ini akan dilindungi sepanjang masa, bukan hanya semasa bekerja. Jika kemalangan berlaku di luar waktu kerja pun, mereka tetap dilindungi,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, had usia Skim LINDUNG KASIH untuk suri rumah akan dinaikkan dari 55 kepada 60 tahun, dengan lebih 720,000 wanita akan mendapat manfaat.
“Suri rumah menjaga anak-anak, orang tua, ahli keluarga yang sakit kerana mereka menyumbang besar kepada negara. Sudah tiba masanya kita balas jasa mereka dengan perlindungan yang lebih baik.Ini bukan hanya sekadar polisi, ini adalah janji yang dipenuhi oleh Kerajaan MADANI kepada rakyatnya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menubuhkan Akademi Semikonduktor KESUMA (ASK) untuk melatih bakat dalam reka bentuk cip dan pembuatan kecerdasan buatan (AI).
ASK akan menyediakan bekalan bakat yang berterusan untuk menyokong pelaburan syarikat global utama, sekali gus memperkukuh rantaian nilai semikonduktor negara.
Katanya, KESUMA juga sedang mereformasi 26 undang-undang supaya kerangka perundangan di bawah kementerian itu kekal relevan, adil dan berkesan untuk dunia pekerjaan hari ini dan masa hadapan.
“Undang-undang yang baik tidak berguna jika rakyat tidak boleh mengaksesnya, justeru KESUMA akan memperkenalkan Mahkamah Buruh Bergerak, sebuah mahkamah yang bergerak ke tempat pekerja berada,” katanya.-BH Online
